Satu-satunya Kenanganku Bersamanya
Waktu itu, era wabak Covid sedang melanda tanah air. Semua orang diwajibkan duduk di rumah dan tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk masa yang sungguh lama. Sepanjang itulah aku cuba berbincang dengan bakal isteri ketika itu berkenaan perancangan berkahwin. Namun, disebabkan perintah berkurung, tidak banyak kemajuan yang dapat kami laksanakan, khususnya bagiku sebagai lelaki ialah berjumpa bakal bapa mentua. Tetapi disebabkan tidak boleh merentas negeri tanpa kebenaran, misi itu terus tertangguh.
Hinggalah pada satu masa, seluruh rakyat dibenarkan merentas negeri tanpa perlu meminta kebenaran. Terkejut bukan kepalang aku. Keluargaku sibuk hendak menguruskan pertunangan adik. Walhal aku pula dalam diam merancang untuk berjumpa dengan bakal bapa mentua. Kebetulan tidak jauh pun kedua-dua destinasi. Jadi, alang-alang kita realisasikan.
Selesai pertunangan adik, aku bergegas ke rumah bapa mentua. Perasaan bercampur baur sudah tentu bermain dalam dada. Adakala teruja, adakala cuak juga. Teruja sebab itulah kali pertama aku datang ke rumah bapa mentua, dan itulah juga kali pertama bertemu dengan isteri setelah sekian lama tidak berjumpa di bangku sekolah.
Lebih teruja lagi, menantikan bunyi tapak kaki bapa mentua keluar dari rumahnya. Ya, waktu itu kami berjumpa di luar rumah sahaja. Kami saling tidak menghulurkan tangan bagi mengelak bersalam, dan kami masih menjaga jarak. Semuanya gara-gara Covid.
Tak apalah, asalkan aku dapat menatap wajahnya dan mendengar celotehnya, sudah cukup buatku gembira. Waktu yang singkat itu diisi dengan pelbagai rambang perbualan. Sekejap tentang pelajaran, sekejap tentang kesihatan, tetapi tidak menyentuh soal perkahwinan.
Selesai berjumpa dengan bapa mentua, aku pulang dengan hati gembira, senyum sampai ke telinga. Seronok sebab cara dia melayaniku seperti aku sudah menjadi keluarganya. Santai dan mudah didekati. Buatku rasa nak lagi berjumpa dengannya, dan santuninya dengan baik selepas kahwin nanti.
Namun, siapa sangka itulah pertemuan pertama dan terakhir antaraku dengan bapa mentua. Tanggal 10 Februari tahun berikutnya, beliau pergi mengadap Ilahi. Masa itu waktu malam, bakal isteriku beritahu bahawa bapanya sudah tiada lagi. Aku tergamam. Sudahlah perintah berkurung kembali berkuat kuasa, kami pula belum berkahwin. Jadi, aku tidak ada sebab kukuh untuk membenarkan aku merentas negeri bagi menghadiri pengebumiannya dan menatap wajahnya buat kali terakhir. Sedih, kesal, murung semuanya menghurung di dada. Tiada apa yang boleh aku lakukan.
Segala impianku untuk santuni bapa mentua habis hancur berkecai. Tidak dapatlah aku hendak berbual dengannya lagi, mendengar celotehnya, bersalam dan mengucup tangannya, apatah lagi menimba ilmu dan pengalamannya. Yang tinggal hanyalah satu kenangan itu sahaja antaraku dengannya. Tersemat dalam ingatanku buat selamanya.
Comments
Post a Comment