Menonton Gelagat Orang Melayu Dahulu Bersama Swettenham

Tak tahu mengapa, tapi kebelakangan ini saya selalu ingin rasa bagaimana hidup di zaman silam. Zaman yang tiada bekalan elektrik, tiada mesin kenderaan, tiada perhubungan pantas seperti hari ini. Bagaimana rasanya hidup pada malam yang disuluh cahaya api, bergerak ke sana ke mari dengan perahu, dan menikmati hidup yang sunyi tidak ramai kenalan kerana kekangan cara berhubung.

Maka, saya cuba merasainya apabila membaca buku ini. Gelagat dan Ragam Orang Melayu adalah buku catatan Sir Frank Swettenham yang mengandungi pelbagai kisah pendek berdasarkan pengalamannya semasa bertugas di Tanah Melayu. Kisah-kisah tersebut menarik, membuatkan saya teruja dan ingin tahu, apa lagi gelagat leluhur kita dahulu, setiap kali saya melangkah dari satu kisah ke satu kisah. 

Ada kalanya saya membaca buku ini sambil fikiran saya menonton’ gelagat mereka macam filem klasik P. Ramlee. Selain itu, saya juga pernah meminta bantuan AI untuk hasilkan gambar daripada penceritaan Swettenham. Tak perlu pun percaya sepenuhnya hasil AI itu, hanya saya lakukannya sekadar untuk menikmati perjalanan membaca buku ini. Contohnya, apabila digambarkan rumah mandi yang menjadi tempat terbunuhnya Birch, saya minta AI gambarkan dan ini hasilnya:


Betul juga kata komen orang, Swettenham beruntung dapat bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Beliau dapat bertemu dengan golongan bangsawan, petani dan nelayan, malah hantu pun dijumpanya. Daripada pergaulan ini, beliau dapat melihat pelbagai ragam orang Melayu yang mungkin orang lain ketika itu tidak berpeluang menyaksikannya. 

Namun, Swettenham melihat ragam orang Melayu berdasarkan kacamata penjajah. Maka, untuk menganggap kisah dalam buku ini sebagai gambaran mutlak kaum Melayu, mungkin tidak kena pada tempatnya. Saya cuba juga menapis dan tak mudah menerima, contoh mudah, apabila beliau melabel orang Melayu yang menentang penjajah sebagai musuh. Tentulah kita tak ikut sepertimana tanggapannya, sebab kita tahu siapa musuh yang sebenar.

Tidak lupa juga gambaran alam sekitar dalam. buku ini. Cemburu juga apabila Sweetenham dapat menikmati alam sekitar Tanah Melayu ketika itu yang masih suci. Di mana agaknya kawasan-kawasan hijau yang disebutkan itu hari ini. Agaknya sudah dicemari teknologi moden. Barangkali kita tidak layak menikmati keindahan yang sudah sirna itu, sebab kita hari ini manusia yang tidak pandai menghargai alam semulajadi. 

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah