Muhasabah Diri Demi Kemajuan Umat Bersama Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti
Mula-mula saya membaca judul buku ini, Dosa Tersembunyi, saya menjangkakan kandungan buku ini pasti memuatkan teguran dan nasihat yang menyentuh jiwa. Rupanya, sangkaan saya meleset. Buku ini memang menyentuh tentang penyucian jiwa, tetapi dalam skop yang lebih besar, iaitu kemunduran umat.
Dalam buku ini, al-Buti berusaha mengaitkan masalah kemunduran umat dengan keadaan jiwa umat Islam hari ini. Buku ini bertitik-tolak daripada soalan, atau boleh saya kata luahan, yang dinyatakan kepada al-Buti tentang umat Islam ketika itu yang mundur dan berpecah belah, dalam masa yang sama bukan Islam maju dan bersatu. Menurut al-Buti, punca yang mengakibatkan kejatuhan umat ialah dosa hati, atau seperti judul ini, iaitu dosa tersembunyi.
Macam tiada kaitan yang jelas, tetapi apabila saya membaca buku ini sehingga habis, saya melihat pandangan al-Buti ini sebenarnya ada asas yang kuat.
Menurut al-Buti, masalah besar yang menimpa umat Islam masa ini ialah jiwa yang cintakan dunia dan tidak setia kepada agama. Bila hati sudah berpaut kepada dunia, maka sebarang usaha kebaikan yang dibuat adalah bertujuan kepentingan diri dan kepuasan nafsu, bukan setulusnya kerana agama. Bila masing-masing hanya mahu mementingkan matlamat peribadi, maka semua usaha kebaikan dilakukan tanpa keikhlasan dan kesetiaan yang tulus kepada agama. Mudah cerita, hanya berpura-pura saja. Sudahlah berpura-pura, lepas itu tidak percaya orang lain sebab dia anggap sepertimana dia berpura-pura, maka orang lain pun boleh jadi berpura-pura juga. Akibatnya, umat berpecah-belah, walaupun jumlahnya ramai, tetapi semua bersikap individualistik.
Oleh sebab itu, al-Buti mencadangkan ubatnya, iaitu penyucian jiwa daripada dosa-dosa yang tersembunyi dalam hati. Tujuannya yang hakiki adalah mengembalikan kehambaan diri kepada Allah dalam hati. Kata al-Buti, kita ini umpama pelajar yang masuk ke dalam peperiksaan tapi lalai dengan dunia sekeliling dan lupa hendak menjawab soalan. Maka, kita perlulah saling mengingatkan tentang hakikat kehidupan kita sebagai seorang hamba. Dengan menyucikan jiwa akan mengubat penyakit dunia di hati, dan jiwa akan berserah sepenuhnya kepada agama, bukan lagi berserah kepada nafsu dan dunia. Pada akhir buku ini, al-Buti ada menerangkan cara merawat hati daripada penyakit cinta akan dunia.
Di sela-sela perbincangan, al-Buti sering memberi teguran dan kritikan. Tegurannya disasarkan kepada semua kelompok manusia. Akan tetapi, kebijaksanaan al-Buti dalam menegur, beliau tidak menyebutkan secara khusus nama atau identiti kelompok tertentu. Apabila beliau kritik, beliau terus kepada sifat dan sikap yang mahu dikritik, walaupun kita mungkin tahu siapakah yang dimaksudkan secara tidak langsung.
Contoh, al-Buti menegur tentang sikap taksub kepada kelompok tertentu hingga membawa kepada mengamalkan persaudaraan sempit dengan hanya memandang tinggi kelompok sendiri dan memandang rendah kelompok dan umat Islam lain. Jangan salah anggap, al-Buti tidak memusuhi gerakan politik atau haraki. Beliau sendiri berkata tak perlu pun tinggalkan jemaah, cuma perlu sedar bahawa kesetiaan sebenar bukan kepada jemaah, tetapi kepada Islam. Barulah cinta kepada jemaah atau kelompok tidak akan mengorbankan cinta kepada seluruh umat Islam.
Contoh teguran al-Buti kepada sufi pula, beliau menegur kelompok orang yang sibuk berbicara tentang hal tahap tinggi dalam tasawuf seperti fana, baqa dan seumpamanya. Hal-hal tersebut hanya bermanfaat melalui amalan, ibadah dan penyucian jiwa. Maka tegur beliau, berbicara tentang hal-hal itu tidak memberi manfaat pun kalau mereka tidak sibuk membersihkan hati daripada dosa-dosa tersembunyi.
Al-Buti menegur kelompok yang menganggap penyucian jiwa tidak penting dalam gerakan, dengan menyatakan mereka boleh cari Islam versi tokoh moden, dan bukan versi para salaf. Dalam masa yang sama, beliau juga menegur kelompok yang menganggap Islam menyuruh penganutnya beruzlah sahaja, dengan teguran lebih kurang bahawa mereka ini langkau saja baca ayat al-Quran tentang jihad, atau tak perlu baca sirah Nabi s.a.w tentang pembentukan masyarakat Islam. Pada masa yang sama, al-Buti juga menegur kelompok yang suka ubah suai hukum agama untuk kepentingan diri, dengan menyelar mereka ini tak perlulah nak merintih sedih dan sibuk berbicara tentang kemunduran umat kerana hati mereka tidak menanggung rasa sakit dan sedih pun dengan bencana yang melanda umat Islam.
Bagi saya, buku ini memang menyentak jiwa saya. Membuatkan saya terfikir dan merenung diri sendiri. Hari-hari disajikan berita tentang nasib saudara kita di Gaza, tapi kita sendiri tak usaha membaiki diri. Tak perlu cari salah orang lain kalau kita sendiri tak baiki hati. Kita rasa sedih dengan apa yang menimpa saudara kita, tapi apa usaha yang kita sudah lakukan untuk membantu agama dan umat. Kalau sudah pun, bagaimana pula keadaan hati kita. Memang semata-mata kerana Allah-kah, atau masih ada lagi keinginan diri yang tersembunyi. Tepuk dada, tanyalah hati.
Akan tetapi, saya percaya ramai yang tidak gemar dengan cadangan al-Buti ini, kerana ia kelihatan tidak memberikan apa-apa tindakan yang putus dan pasti dalam membantu umat. Pada saya, bukan seruan al-Buti untuk kita tinggalkan semua usaha dan kembali ke asas untuk menyucikan jiwa. Sebaliknya, kita teruskan kerja dan usaha kita, dalam masa yang sama, kembali mengetengahkan penyucian jiwa dalam hidup kita, terus-menerus membaiki hati dan ibadah, kerana dengan menjadi hamba yang soleh, Allah pasti akan menurunkan pertolongan.
Comments
Post a Comment