Membaca Buku Seni Membaca Buku Bersama Adler dan van Doren


Kali pertama saya membaca buku How To Read A Book adalah kira-kira 11 tahun yang lalu sewaktu di Jordan. Pada waktu itu, buku yang saya baca ialah buku terjemahan juga, yang dibuat oleh Rustam A. Sani. Tahun ini, sengaja saya membeli dan membaca buku yang sama tetapi dengan terjemahan yang baru. Tujuannya ingin mempelajari cara membaca buku secara terperinci sebagai persediaan pada masa hadapan.

Walaupun tajuknya seperti untuk kanak-kanak, sebenarnya buku ini adalah panduan untuk sesiapa yang mahu membaca buku di tahap yang lebih tinggi. Mungkin bukan semua buku itu kita mahu membacanya di tahap tinggi, kerana ada masanya kita mahu membaca buku untuk mengisi masa lapang sahaja. Akan tetapi kalau kita mahu membaca sebarang buku secara serius, dengan matlamat khusus yang besar, maka buku ini disarankan sebagai panduan.

Semasa membaca buku ini, Adler dan van Doren meminta saya mengelaskan sebarang buku yang dibaca. Maka, saya kelaskan buku ini sebagai buku praktikal, kerana buku ini sarat dengan arahan dan langkah untuk membaca secara terperinci. Bagi saya, langkah-langkah yang dibentang dalam buku ini sesuai diamalkan ketika hendak melakukan kajian yang melibatkan pembacaan buku. 

Jika kita hendak mengkritik sesebuah buku, kita haruslah memahaminya terlebih dahulu. Jika kita hendak menukilkan sebarang pendapat daripada sesebuah buku, lalu menjadikannya sebagai hujah yang menyokong pendapat kita, maka semestinya perlu memahami pendirian sebenar penulis tersebut. Tidak elok jika kita mengambil sikap tangkap muat sahaja. Haruslah berlaku adil terhadap buku dan penulisnya, dan ini menuntut kita untuk memahami buku tersebut dengan sebaik mungkin.

Mungkin tidaklah semua yang dibentangkan dalam buku ini sesuai digunakan ketika membaca buku-buku tertentu seperti kitab-kitab Arab dan kitab-kitab Jawi lama. Akan tetapi, buku ini memberikan asas konsep yang penting untuk dipegang dalam hal berkenaan aktiviti membaca buku secara serius. Barangkali di luar pengetahuan saya, buku seperti panduan membaca buku agama, kitab Arab dan seumpamanya sudah ada di pasaran. Jika tidak, maka di sana ada keperluan untuk menghasilkannya.

Apa yang saya dapat simpulkan ialah buku ini bersifat malar segar. Ditulis pada era 70an, tetapi manfaatnya masih berguna hingga ke masa ini. Penghargaan buat penterjemah kerana mengembalikan buku ini dengan terjemahan yang lebih segar.

Comments

Sohor Semasa

Al-Kullabiyyah Aliran Kalam Sunni Sebelum Imam al-Ash’ari

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Mendiagnosis Masalah Golongan Belia

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Merangkak Membaca al-Quran Lebih Baik Daripada Laju Berbicara Tanpa Ilmu

Tidak Mengitar Semula Isu Lama