Berkat Melazimi Selawat Ke Atas Nabi Muhammad s.a.w
Diceritakan dalam kitab Mukasyafah al-Qulub karya Imam al-Ghazali bahawa suatu hari, seorang wali Allah bernama Sufyan al-Thawri hadir ke Kaabah lalu beliau berjumpa dengan seorang pemuda. Pemuda tersebut sedang tawaf mengelilingi Kaabah. Sufyan al-Thawri menghampiri pemuda itu, lalu kedengaran dari lisan pemuda itu lafaz-lafaz selawat, dan tidak pernah putus selawat dari lidahnya ketika beliau sedang melakukan ibadah tawaf. Sufyan al-Thawri berasa hairan lalu beliau mendekati pemuda itu.
"Hai pemuda, mengapa kau berselawat sepanjang tawaf kamu itu tadi? Bukankah sudah ditetapkan doa bagi setiap tawaf itu. Tawaf yang pertama ada doanya, tawaf yang kedua ada doanya, dan berterusan," kata Sufyan al-Thawri.
"Siapakah gerangannya kamu," tanya pemuda tersebut.
"Aku Sufyan al-Thawri," balas wali Allah tersebut.
"Aku akan ceritakan pada kau mengapa aku berselawat tadi," kata pemuda itu.
"Suatu masa dahulu, aku mempunyai ayah. Tiba satu hari ayah aku penat. Lalu aku baringkan dia dan aku letakkan kepalanya di atas riba aku," tambah pemuda itu.
"Tidak beberapa lama kemudian, ayah aku pun meninggal dunia. Hairannya, wajah ayah aku itu pada asalnya putih, akan tetapi setelah kematiannya Allah telah menghitamkan muka ayah aku. Aku berasa sedih lalu aku menutup muka ayah aku dengan sehelai kain. Setelah itu, aku terus berdoa kepada Allah agar diampuni dosa-dosa ayah aku," cerita pemuda itu.
"Tiba-tiba, aku tertidur. Dalam tidur aku, aku bermimpi ada seorang lelaki datang kepada aku dan ayah aku. Lelaki itu berpakaian cantik dan wajahnya kacak. Beliau datang kepada aku lalu beliau membuka kain yang menutupi wajah ayah aku. Lalu beliau mengusap muka ayah aku sebanyak tigakali. Tiba-tiba, muka ayah aku kembali putih berseri," tambah pemuda itu.
"Ketika lelaki itu mahu beredar, aku memaut kakinya. Lalu aku bertanya, 'Siapakah engkau? Dan bagaimana jenazah ayah aku ini berubah menjadi putih berseri?'" cerita pemuda itu.
"Akulah Nabi Muhammad s.a.w dan ayah kamu itu pada waktu hidupnya, pelbagai jenis maksiat telah dia lakukan. Akan tetapi lisannya tidak pernah putus berselawat kepada aku. Maka aku hadir ini untuk menunaikan janji aku untuk memberi syafaat kepada siapa yang berselawat kepadanya," tambah pemuda itu.
"Kemudian aku tersedar dari tidur aku, lalu aku buka kain yang menutupi wajah ayah aku. Ternyata muka ayah aku menjadi putih berseri. Sejak daripada itu, aku tidak jemu berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w," kata pemuda itu.
"Jikalau begitu, berselawatlah sebanyak mana yang kamu mahu," balas Sufyan al-Thawri.
Dalam kisah di atas, ingin saya katakan bahawa selawat memiliki pelbagai faedah. Firman Allah Taala,
◯ إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi (Muhammad s.a.w). Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." (al-Ahzab: 56)
Sabda Rasulullah s.a.w,
.إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً
"Sesungguhnya manusia yang paling utama (terdekat) dengan aku pada hari kiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku." (Riwayat al-Nasa'i dan Ibnu Hibban)
Rasulullah s.a.w bersabda,
.مَنْ صَلَّى عَلَيَّ حِينَ يُصْبِحُ عَشْرًا، وَحِينَ يُمْسِي عَشْرًا، أَدْرَكَتْهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ
"Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, dia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat." (Riwayat al-Tabarani)
Dalam buku Biografi Agung Rasulullah Shallallahu Alayhi Wasallam tulisan Rusydi Ramli al-Jauhari, penulis meletakkan beberapa faedah selawat yang diambil daripada kitab Ibnu Farhun al-Qurthubi, antaranya ialah:
- Memperoleh selawat (rahmat) dari Allah s.w.t.
- Memperoleh syafaat daripada Nabi s.a.w.
- Mendapat pertolongan dan tercapai keperluan hidup.
- Memperoleh nur lahir dan batin.
Terdapat pelbagai lagi faedah berselawat, banyaknya tidak terhitung kerana bantuan dari Allah datang tidak berbau dan tidak disangka dengan akal kita yang terhad ini. Oleh yang demikian, muliakanlah Nabi Muhammad s.a.w dengan ucapan selawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad s.a.w.
Semoga Allah memberi peluang kepada kita untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Semoga Allah menambah kecintaan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w dan seterusnya menjadi mudah ke atas kita untuk mencintai Allah s.w.t dek kerana bertambahnya cinta kita kepada penghulu segala nabi dan rasul, Nabi Muhammad s.a.w.
اللّهُمَّ صّلِ عَلىَ سَيّدنَآ مُحَمد ﷺ
Rujukan:
- Biografi Rasulullah Shallallahu Alayhi Wasallam, Rusydi Ramli al-Jauhari
- http://cintafattabiouni.blogspot.com/2013/08/kisah-sufian-suri-dengan-pemuda-ganjil.html

Comments
Post a Comment