Tidak Memandang Hina Terhadap Pelaku Maksiat
Bermula kisah pada suatu hari ada seorang wali Allah s.w.t berjalan di satu jalan. Dalam perjalanannya, beliau berjumpa dengan seekor anjing. Dengan pandangan beliau terhadap anjing tersebut, terdetik dalam hati beliau perasaan hina kepada anjing tersebut. "Jijiknya anjing ini," bisik wali Allah s.w.t dalam hatinya.
Kemudian, dengan kuasa Allah s.w.t, ditakdirkan anjing tersebut boleh berkata-kata. "Hai wali Allah, ya aku ini jijik, jika mana-mana manusia menyentuh aku, mereka perlu membasuh tangan mereka dengan tujuh kali basuhan. Akan tetapi, dengan hati kau yang itu walau dibasuh dengan air dari tujuh lautan pun tak akan bersih," tegur anjing kepada wali Allah tersebut. Lalu bertaubatlah wali Allah s.w.t dengan asbab teguran dari anjing tersebut.
Perhatikanlah dari kisah ini, bagaimana betapa pentingnya menjaga hati daripada dimasuki pelbagai anasir jahat. Betapa pentingnya kita harus selalu bersangka baik dan menghinakan diri kita. Imam al-Ghazali pernah menyebut bahawa jika kita berjumpa dengan pelaku maksiat, maka kita hendaklah merasakan diri kita lebih hina daripada pelaku maksiat tersebut.
Jika difikirkan akal, bagaimana hendak merasa hina, sedangkan pelaku maksiat tersebut secara terang-terangan melakukan maksiat. Namun kebijakan dan tawaduknya Imam al-Ghazali beliau menambah bahawasanya si pelaku maksiat itu pada waktu itu dia berbuat maksiat akan tetapi siapa tahu suatu hari nanti dia mati dalam keadaan husnul khatimah. Manakala kita pada waktu itu dalam keadaan baik, belum tentu mati kita nanti sama ada dalam keadaan husnul khatimah ataupun su'ul khatimah.
Sesungguhnya, yang perlu kita tegur adalah kerana perbuatan maksiat itu, bukan kerana pelakunya. Berapa ramai manusia hari ini yang melazimi lisannya bercakap tentang kezaliman orang, tetapi tidak dia sedari bahawa dia sendiri sedang melakukan kejahatan yang amat dibenci. Misalan, seperti yang maklum, bercakap tentang kezaliman pemimpin itu suatu bentuk 'mengumpat' yang diharuskan. Namun begitu, perbuatan tersebut boleh dilaksanakan atas dasar untuk mengambil iktibar supaya tidak juga melakukan kezaliman.
Adapun orang masa kini, apabila mulutnya sering bercakap tentang kezaliman pemimpin, lidahnya berhujah kerana ingin mengambil iktibar, akan tetapi hatinya dipenuhi kejahatan nafsu, dan segala sebutannya tentang kezaliman pemimpin menjadi keji kerana dibuatnya perbuatan itu dengan penuh kebencian kepada pemimpin tersebut sambil dihiasi dengan 'keindahan' nafsu yang membuak-buak dan menggalakkan.
Sesungguhnya, saya mengulangi sekali lagi, bahawasanya yang kita harus benci ialah perbuatan pelaku maksiat muslim tersebut, bukan pelaku itu sendiri. Pelaku maksiat itu juga merupakan saudara seagama kamu. Jikalau demikian, mengapa kamu tidak mengambil kesempatan untuk menegurnya. Mengapa kamu mengambil langkah yang agak berisiko dengan meninggalkan langkah menegur sebaliknya menyebarkan keaiban saudara seagama kamu itu.
Allah s.w.t meskipun membenci pelaku maksiat, namun begitu, rahmat-Nya mengatasi kebencian-Nya. Pintu taubat dan rahmat sentiasa terbuka bila-bila masa. Panggilan taubat sentiasa diseru. Rahmat dan nikmat sentiasa diberi. Sedangkan kita lebih mudah membenci si pelaku maksiat. Allahurabbi.
Pernah saya terdengar sebuah nasihat daripada seorang ustaz di televisyen, katanya jika kita mudah memaafkan orang lain, Allah s.w.t akan mudah mengampunkan dosa kita dan memaafkan kesalahan kita. Jikalau kita sukar memaafkan orang lain, (ditakuti) Allah s.w.t akan sukar mengampunkan dosa kita dan sukar memaafkan kesalahan kita. Na'uzubillahi min dhalik.
Kesimpulannya, bersihkanlah hati kita daripada segala yang dapat merosakkan keimanan dan keikhlasan hati kita. Berusahalah bersangka baik, dan bersabar dalam melahirkan apa jua pandangan terhadap sesuatu perkara, lebih-lebih lagi terhadap pelaku maksiat. Tegurlah selagi mampu, jikalau tidak mampu, bumikan perasaan benci kepada maksiat tersebut ke dalam hati kamu. Sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudr r.a disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w,
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرهُ بِيَدِهِ فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الاِيمَانِ
Maksudnya: "Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mencegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)
Semoga Allah memasukkan kita ke dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Comments
Post a Comment