Gua Pertama Surah al-Kahf I: Siapakah Ahl al-Kahf oleh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi
Dalam pencarian saya, saya menjumpai sebuah buku kecil berbahasa Arab berkenaan penghayatan Surah al-Kahfi. Buku tersebut berjudul Surah al-Kahf, hasil nukilan Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, seorang mufasir tersohor zaman kini. Dalam buku tersebut, beliau mencatatkan tadabbur bagi kisah-kisah yang termaktub dalam Surah al-Kahfi. Salah satu daripadanya ialah kisah Ashab al-Kahfi. Melihat pada bahasanya yang mudah dan sarat penghayatan, saya memutuskan untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu dalam blog ini.
Al-Sya'rawi membahagikan penghayatan kisah Ashab al-Kahfi kepada empat bahagian, dan mengikut demikian juga pembahagian saya dalam penterjemahan kali ini. Artikel yang sedang terpapar ini adalah siri pertama daripada empat siri penterjemahan saya. Seperti biasa, saya cuba untuk mendekatkan penterjemahan kepada kefahaman awam berbanding bersifat akademik.
Semoga usaha kecil ini diberkati oleh Allah s.w.t, Tuhan yang mengatur kisah ajaib ini dengan sebaik-baik aturan. Selamat membaca dan semoga bermanfaat. Berikut adalah terjemahannya:
Siapakah Ahl al-Kahfi?
Kisah Ahl al-Kahf adalah kisah sekumpulan orang yang lari daripada pemerintah zalim yang berusaha memaksa mereka mengkafirkan Allah. Maka, mereka melarikan diri menyelamatkan agama mereka lalu bersembunyi di dalam sebuah gua. Sesungguhnya Allah s.w.t mencirikan mereka dalam kitab-Nya yang mulia melalui firman-Nya,
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَـٰهُمْ هُدًۭى
Maksudnya: “Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” (al-Kahf: 13)
Dengan ciri ini, dapat kita ketahui bahawa Ahl al-Kahf bukanlah golongan tua yang lemah mahupun sekumpulan wanita. Sebaliknya mereka itu pemuda, yakni pada diri mereka ciri keremajaan. Mereka beriman kepada Tuhan mereka, dan bilamana mereka beriman kepada-Nya, semakin bertambah keimanan dan petunjuk dari sisi-Nya. Maka Allah jalla jalaluhu menambah keimanan orang beriman dan membantunya sepanjang jalan selama mana imannya benar dan kukuh, bertepatan dengan firman-Nya,
وَٱلَّذِينَ ٱهْتَدَوْا۟ زَادَهُمْ هُدًۭى وَءَاتَىٰهُمْ تَقْوَىٰهُمْ
Maksudnya: “Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertakwa.” (Muhammad: 17)
Sesungguhnya Tuhan Yang Maha Benar s.w.t hendak menarik perhatian kita bahawa Dia membantu orang beriman melalui jalan keimanan. Maka disebabkan itu, ditambahinya lagi daripada limpah kurnia Allah.
Para pemuda tersebut takut agama mereka dan takut akidah mereka daripada ditekan oleh pemerintah untuk menyembah selain daripada Allah. Maka, mereka lari menyelamatkan agama mereka menuju ke gua di sebuah bukit, bersembunyi di dalamnya daripada pemerintah kafir yang zalim. Adapun gua pula tempat yang sempit, manusia tidak mampu mendiaminya melainkan dalam waktu yang singkat sahaja. Bacalah firman Tuhan Yang Maha Benar jalla jalaluhu,
وَإِذِ ٱعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأْوُۥٓا۟ إِلَى ٱلْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِۦ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًۭا
Maksudnya: “Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri daripada mereka dan daripada apa yang mereka sembah yang lain daripada Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna.” (al-Kahf: 16)
Tuhan Yang Maha Benar s.w.t hendak kita mengetahui bahawa gua ini keadaannya sempit. Dalam fikiran kita yang bersifat manusiawi dan materi, kita menyangka ia tempat yang akan menyempitkan dengan ruangnya yang kecil dan masa juga menyempitkan dengan sunyinya daripada sebarang peristiwa di dalamnya. Meski gua ini menyempitkan ruang, akan tetapi ia tidak sekali-kali menyempitkan nikmat ke atas mereka. Rahmat Allah s.w.t akan menjadikan tempat yang sempit ini kelihatan luas dan lapang, oleh itu mereka tidak merasai kesempitan ruang. Masa pula terhenti di dalamnya, oleh itu mereka tidak merasai kesempitan masa. Bahkan rahmat Allah turun untuk melindungi mereka.
Ini mengingatkan kita bahawa sesiapa yang lari menyelamatkan agamanya ke tempat yang asing, meskipun tempat ini sempit, Allah melalui rahmat-Nya akan menjadikannya luas dan lapang. Jika tempat ini sempit dari sudut rezeki, Allah akan membukakan baginya pintu-pintu rezeki yang mengayakan orang kaya. Jika tempat ini menyempitkan bagi orang asing, yakni tidak mengalu-alukan orang asing di dalamnya, Allah akan meletakkan daripada rahmat-Nya ke dalam hati penduduk tempat ini suatu perasaan yang menjadikan mereka manusia yang paling mengalu-alukan kehadiran orang yang lari tersebut. Jika tempat ini sempit kerana orang-orang di dalamnya, yakni berhimpit-himpit, Allah akan menjadikan baginya tempat yang luas untuk dia hidup di dalamnya.
Beginilah, sesungguhnya orang yang lari menyelamatkan agamanya daripada kekufuran tidak akan dihina oleh Allah selama-lamanya. Bahkan, rahmat Allah akan selalu ada bersamanya, menghapuskan kesempitan rezeki dan meluaskannya, menghapuskan kesempitan keasingan dan menjadikannya dikasihi oleh penduduk setempat, menghapuskan kesempitan penginapan dan memberikannya penginapan yang luas lagi lapang.
Sesungguhnya kejadian ini bukanlah dengan perbuatannya sendiri, atau asbabnya sendiri, akan tetapi dengan rahmat Allah. Seperti inilah kita dapat mengetahui bahawa Allah s.w.t tidak meninggalkan orang beriman yang lari menyelamatkan agamanya kerana asbab dunia, bahkan Dia memeliharanya dengan rahmat-Nya. Maka, Dia membuatkan setiap perkara yang sempit menjadi luas seluas-luasnya dengan rahmat-Nya s.w.t.
Antara rahmat-Nya kepada Ashab al-Kahfi, Dia tidak menjadikan mereka memikirkan bahawa diri mereka teraniaya sehingga mereka tidak hidup dalam keadaan risau dan takut akan dikesan oleh pemimpin kafir yang zalim atau persembunyian mereka terbongkar, sepertimana Dia menghapuskan kerisauan hidup mereka dalam mencari makanan dan minuman. Hal ini kerana usaha pencarian akan mendedahkan mereka dalam situasi yang buruk pada setiap hari. Misalnya, seorang daripada mereka keluar daripada gua untuk membawa makanan dan minuman sambil asyik menoleh ke belakang kerana takut diperhati oleh petugas pemimpin zalim, lalu menunjukkan mereka ke gua. Ataupun dia diikuti oleh seseorang ketika dia pulang membawa makan dan minum ke gua, lalu tempat persembunyian mereka terbongkar, dan maklumat ini sampai ke telinga pemerintah kafir yang zalim, akhirnya mereka diserbu dan dibunuh, atau dipaksa lagi kepada kekufuran.
Oleh sebab itu, Allah menimpakan kepada mereka rasa mengantuk yang aman, yakni Allah membuatkan mereka tidur dalam gua. Maka, tiada siapa yang dapat menjumpai mereka. Mereka pula tidak merasakan masa berjalan dan tidak berhajat kepada makanan mahupun minuman.
Beginilah caranya Allah s.w.t menyelamatkan mereka daripada kesempitan duniawi. Mereka tidak berasa kesempitan tempat, tidak berasa kebosanan masa, tidak berasa risau akan terjatuh dalam bahaya dan tidak berasa kesempitan dalam hidup mereka. Bahkan Allah tabaraka wa ta'ala dengan rahmat-Nya menghapuskan kesempitan ini sehabis-habisnya. Di samping itu, terdapat di sana tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t yang memelihara mereka dengan pertolongan-Nya.
Rujukan:
- Al-Sya’rawi, Muhammad Mutawalli. t.th. Surah al-Kahf. al-Qahirah: Dar Akhbar al-Yawm. Pautan PDF
Comments
Post a Comment