Gua Pertama Surah al-Kahf II: Apabila Masa Terhenti oleh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi

Pada siri pertama Siapakah Ahl al-Kahf yang lalu, Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi menyebutkan dalam perenggan terakhir bahawa terdapat beberapa tanda kekuasaan Allah s.w.t yang berlaku dalam kisah Ashab al-Kahfi. Oleh itu, dalam siri yang kedua ini, al-Sya'rawi akan mula menceritakan tanda kekuasaan Allah s.w.t tersebut. Berikut adalah terjemahan bagi siri kedua:

Apabila Masa Terhenti 

Bukti kekuasaan yang pertama ialah Allah s.w.t menimpakan rasa mengantuk atau tidur terhadap mereka. Biasanya, manusia tidur panjang dalam sehari atau setengah hari. Paling jauh dia boleh sebut adalah dia tidur seharian atau setengah hari. Oleh kerana itu, ketika mana mereka (Ashab al-Kahfi) bangun dari tidur, soalan yang ditanyakan sesama mereka adalah, "Berapa lama kamu tidur?" Mereka pun menjawab, "Seharian atau sebahagian dari sehari." Seperti yang diceritakan oleh Allah s.w.t melalui firman-Nya,

وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَـٰهُمْ لِيَتَسَآءَلُوا۟ بَيْنَهُمْ ۚ قَالَ قَآئِلٌۭ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ ۖ قَالُوا۟ لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْم

Maksudnya: "Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanya sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya, 'Berapa lama kamu tidur?' (Sebahagian daripada) mereka menjawab, 'Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari.'" (al-Kahf: 19)

Tidak boleh tidak, kita mesti mengamati firman Tuhan Yang Maha Benar s.w.t, "... selama sehari atau sebahagian dari sehari," kerana ini menunjukkan kepada kita bahawa Tuhan Yang Maha Benar tabaraka wa ta'ala telah menghentikan kesan masa terhadap mereka. Maka dalam tempoh ini, mereka telah terkeluar daripada lingkungan masa. Mereka tidak merasai masa dalam tidur mereka.

Ini perkara biasa. Orang yang tidur tidak merasai masa berlalu dan tidak mengetahui berapa jam tidurnya. Melainkan jika dia mengetahui bilakah waktu dia mula tidur, kemudian dia bangun dan melihat jam. Ataupun dia mula tidur ketika matahari terbit di waktu siang, lalu dia bangun ketika hari sudah gelap malam, ataupun sebaliknya. Oleh itu, seseorang pasti memiliki suatu ukuran dari luar yang akan memberitahu tempoh masa tidurnya. Jika tidak, dia tidak tahu berapa lama dia tidur.

Maka, adakah Ahl al-Kahf mempunyai sebarang ukuran untuk mengetahui berapa lama mereka tidur? Ya, mereka ada ukuran itu, tetapi Allah s.w.t memansuhkannya, maka ia tidak memberi kesan terhadap diri mereka.

Apakah ukuran luaran itu? Ukuran itu adalah mereka memerhatikan kesan masa pada jasad mereka. Sekiranya mereka berada di bawah kesan masa, apabila mereka tidur dalam tempoh yang lama, lalu mereka bangun, saling memerhatikan diri mereka, maka mereka akan dapati rambut yang hitam telah beruban, wajah dan tangan telah berkerut, kekuatan telah menurun dan menjadi lemah, kaki pula tidak mampu menanggung tubuh, serta kesan-kesan yang lain pada jasad mereka.

Akan tetapi, Allah memansuhkan ukuran ini bagi mereka, menyebabkan mereka tidak terkesan dengan kesan-kesan masa. Oleh kerana itu, ketika mereka bangun dan saling memerhatikan diri mereka, mereka dapati keadaan mereka tidak berubah. Mereka melihat diri mereka dalam keadaan remaja seperti sebelum tidur. Tiada sebarang perubahan pada wajah dan jasad mereka. Bahkan mereka dapati diri mereka sepertimana asal. Oleh itu, mereka beranggapan mereka tidur dalam gua tidak lama, dalam beberapa jam sahaja.

Inilah juga yang berlaku pada hamba soleh yang diceritakan oleh Allah s.w.t kepada kita dalam al-Quran al-Karim melalui firman-Nya Taala,

أَوْ كَٱلَّذِى مَرَّ عَلَىٰ قَرْيَةٍۢ وَهِىَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا قَالَ أَنَّىٰ يُحْىِۦ هَـٰذِهِ ٱللَّهُ بَعْدَ مَوْتِهَا ۖ فَأَمَاتَهُ ٱللَّهُ مِا۟ئَةَ عَامٍۢ ثُمَّ بَعَثَهُۥ ۖ قَالَ كَمْ لَبِثْتَ ۖ قَالَ لَبِثْتُ يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍۢ ۖ

Maksudnya: "Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata, 'Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?' Lalu dia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya, 'Berapa lama engkau tinggal (di sini)?' Dia menjawab, 'Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari.'" (al-Baqarah: 259)

Hamba soleh tersebut melewati sebuah kampung yang telah ditimpa azab Allah. Kampung itu hancur dengan teruk. Hamba itu bertanya-tanya akan kuasa Allah menghidupkan semula kampung tersebut. Maka, Allah s.w.t berkehendak memperlihatkan secebis kekuasaan-Nya kepada hamba itu. Allah mematikannya selama seratus tahun, lalu menghidupkannya kembali. Ketika itu, Allah tabaraka wa ta'ala bertanya kepadanya tentang berapa lama tempoh dia dimatikan. Hamba itu menjawab sehari atau setengah hari mengikut kebiasaan manusia, kerana dia tidak merasa sebarang perubahan dan kelainan pada jasadnya. Oleh yang demikian, Allah s.w.t memberitahu hakikat sebenar yang berlaku kepadanya. Allah jalla jalaluhu berfirman,

 قَالَ بَل لَّبِثْتَ مِا۟ئَةَ عَامٍۢ فَٱنظُرْ إِلَىٰ طَعَامِكَ وَشَرَابِكَ لَمْ يَتَسَنَّهْ ۖ وَٱنظُرْ إِلَىٰ حِمَارِكَ وَلِنَجْعَلَكَ ءَايَةًۭ لِّلنَّاسِ ۖ وَٱنظُرْ إِلَى ٱلْعِظَامِ كَيْفَ نُنشِزُهَا ثُمَّ نَكْسُوهَا لَحْمًۭا ۚ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُۥ قَالَ أَعْلَمُ أَنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ

Maksudnya: "Allah berfirman, '(Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging.' Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia, 'Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.'" (al-Baqarah: 259)

Maka, Allah tabaraka wa ta'ala memberitahu hakikat yang sebenar kepada hamba soleh itu. Lalu Allah menyuruh dia memerhatikan makanan dan minumannya. Maka, dia dapati keadaan makanan dan minumannya seperti asal, tidak berubah. Kemudian, Allah menyuruh dia memerhatikan keldainya. Maka, dia dapati keldainya telah mereput dan menjadi tulang. Perkara ini tentu memerlukan waktu yang panjang untuk menjadi begitu. Akhirnya, hamba itu menyedari bahawa tidak mungkin perkara ini berlaku dalam sehari atau setengah hari.

Beginilah halnya bagaimana Allah berkuasa menjalankan masa terhadap keldai, tetapi dalam masa yang sama menghentikan masa terhadap makanan. Tidak mungkin suatu perkara berserta lawannya boleh berlaku dengan serentak dalam masa yang sama. Melainkan (dengan izin) Allah s.w.t, yang pemerintahan setiap perkara berada dalam kekuasaan-Nya.

Rujukan:

  1. Al-Syarawi, Muhammad Mutawalli. t.th. Surah al-Kahf. al-Qahirah: Dar Akhbar al-Yawm. Pautan PDF

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah