Gua Pertama Surah al-Kahf III: 'Gua-Gua' Kekuasaan oleh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi
Dalam siri kedua Apabila Masa Terhenti yang lalu, Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi mula menerangkan tentang kuasa Allah s.w.t memansuhkan kesan masa berlalu pada jasad Ashab al-Kahfi. Sepatutnya semakin lama masa berjalan, diri mereka semakin tua, akan tetapi mereka kekal muda belia seperti sebelum tidur.
Dalam siri yang ketiga ini pula, beliau mengulas dua bukti kekuasaan Allah s.w.t yang berkait dengan bidang sains. Al-Sya'rawi mengistilahkan bukti-bukti kekuasaan Allah s.w.t tersebut sebagai 'gua' sempena gua yang melindungi para pemuda terpilih ini. Berikut adalah terjemahan siri yang ketiga:
'Gua-Gua' Kekuasaan
Pemuda-pemuda Ahl al-Kahfi telah ditidurkan oleh Allah selama 309 tahun. Kejadian ajaib ini menunjukkan kepada beberapa 'gua' kekuasaan Allah s.w.t. 'Gua' yang pertama adalah tidur yang panjang akan merosakkan badan dan jasad yang lama berbaring di atas tanah akan ditimpa pelbagai mudarat. Oleh sebab itu, Allah s.w.t berfirman,
وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ ٱلْيَمِينِ وَذَاتَ ٱلشِّمَال
Maksudnya: "Dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri." (al-Kahfi: 18)
Demikianlah bagaimana Allah s.w.t memberitahu kita dalam al-Quran tentang perkara (penemuan sains) yang tidak diketahui sehingga zaman kini. Iaitu arahan doktor meminta ahli keluarga membalikkan badan pesakit ke kanan dan kiri bagi pesakit yang tidak boleh bergerak. Hal ini supaya badan pesakit tersebut tidak melecet disebabkan katilnya yang boleh mengakibatkan banyak lagi mudarat lain.
'Gua' yang kedua adalah berdasarkan firman Tuhan Yang Maha Benar s.w.t,
فَضَرَبْنَا عَلَىٰٓ ءَاذَانِهِمْ فِى ٱلْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًۭا
Maksudnya: "Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya." (al-Kahfi: 11)
Jika manusia hendak tidur, dia memerlukan persekitaran yang tenteram. Ini kerana setiap anggota badannya akan tidur, melainkan telinga. Telinga ialah pengejut yang tidak pernah tidur, penyedar yang membangkitkan diri daripada tidur. Jika anda mahu mengejutkan seseorang dengan mendekatkan tangan ke matanya atau meletakkan tangannya terus sekalipun, barangkali dia tidak berasa apa-apa. Akan tetapi, jika anda meninggikan suara di telinganya, dia pasti akan terus terbangun. Sekiranya suara itu kuat secara tiba-tiba, pasti dia akan terbangun dan marah. Oleh sebab itu, Allah s.w.t menjadikan malam itu sunyi supaya ia tenang dan tenteram, bertepatan dengan firman-Nya tabaraka wa ta'ala,
هُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلَّيْلَ لِتَسْكُنُوا۟ فِيهِ وَٱلنَّهَارَ مُبْصِرًا
Maksudnya: "Dia-lah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha)." (Yunus: 67)
Allah menjadikan malam itu menenangkan supaya manusia boleh tidur dengan nyenyak dan dapat merehatkan badan untuk bekerja pada siang keesokannya. Kalau tidak kerana tidur di waktu malam, manusia tidak akan mampu bekerja di waktu siang. Kalau anda mahu, cubalah tidak tidur dalam satu atau dua malam. Anda akan merasakan badan anda lemah dan tak mampu bekerja. Maka, anda mesti tidur dalam tempoh yang panjang supaya dapat bekerja lagi.
Ketahuilah, sebenarnya perkara yang mengganggu ketenangan malam adalah perbuatan dosa. Hal ini kerana Allah s.w.t menjadikan malam itu tenang dan tenteram supaya manusia boleh tidur dengan nyenyak sehingga dia mampu melaksanakan tanggungjawab dalam hidupnya.
Rujukan:
- Al-Sya’rawi, Muhammad Mutawalli. t.th. Surah al-Kahf. al-Qahirah: Dar Akhbar al-Yawm. Pautan PDF
.jpg)
Comments
Post a Comment