Tentang Mengkritik Kesalahan Ulama oleh Sa'id Fudah

Baru-baru ini, seingat saya terjadi dua situasi yang saya dapati ada sedikit persamaan antara kedua-duanya. Satunya ialah dialog antara beberapa ulama tempatan berkenaan satu isu akidah. Keduanya ialah pendapat seorang ulama besar luar negara dalam satu topik akidah yang dilihat berbeza dengan jumhur. 

Bukanlah saya di sini untuk mengeruhkan keadaan. Cumanya saya dapati ada persamaan dari satu sudut, iaitu menegur ulama. Dalam hal pertama, dialog pasti akan mengundang teguran dan kritikan. Dalam hal kedua, walau sebesar mana seseorang tokoh, jika melakukan kesalahan pasti akan ditegur. 

Ketahuilah, hal tegur menegur antara ulama ini adalah suatu yang patut disyukuri. Ia tidak sekali-kali menggambarkan pertelingkahan apatah lagi pergaduhan. Sebaliknya ia menunjukkan umat ini saling berusaha memperbaiki sesama sendiri dan tiadanya fikrah taksub dalam umat. Beginilah yang berlaku sejak zaman berzaman. 

Hal ini mengingatkan saya pada mukadimah kitab Tahdhib Sharh al-Sanusiyyah yang ditulis oleh Sa'id Fudah. Beliau menekankan bahawa saling menegur dan mengkritik antara ulama adalah satu ciri keistimewaan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang tidak ada pada aliran lain. Saya fikir ada baiknya juga saya terjemahkannya sedikit di sini sebagai tatapan kita bersama. Terlebih dahulu saya mengingatkan bahawa mukadimah ini ditulis sekitar pada awal tahun 2000. Maka, latar belakang mukadimah ini berkisar pada isu antara al-Asha'irah dan al-Wahhabiyyah. 

Apapun, semoga bermanfaat, dan jika ada salah, mohon ditegur.

Tentang Mengkritik Kesalahan Ulama 

Kemudian, ketahuilah bahawa kami menegur sebahagian ulama Ahl al-Sunnah yang berbeza dengan jumhur dalam beberapa isu yang masyhur, meskipun ia isu terperinci yang tidak mengakibatkan mudarat besar. Kami juga menegur orang yang tersalah dalam mengkritik mereka. 

Tujuan kami berbuat demikian adalah untuk mengingatkan pembaca agar tidak tertipu dengan ahli bidaah khususnya al-Mujassimah yang menisbahkan diri mereka kepada Imam Ahmad bin Hanbal sedangkan sang imam berlepas diri daripada mereka. Kini, mereka telah melampaui batas dengan menolak, mencela dan merendahkan para tokoh al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah. Kadangkala mereka mendakwa ulama al-Asha'irah bertaubat daripada mazhab al-Ash'ari. Lalu menimbulkan keraguan kepada orang awam bahawa ulama tersebut kembali berpegang dengan fahaman tajsim. Sukar untuk mempercaya ulama yang dipelihara oleh Allah ini terjatuh dalam lembah demikian.

Al-Mujassimah juga mendakwa ulama al-Asha'irah saling bercanggah pendapat, sedangkan mereka hanya menegur satu sama lain. Sikap suka menimbulkan syak tanpa sebarang asas serta kelemahan akal aliran al-Mujassimah telah mendorong mereka mengeluarkan dakwaan sebegini. 

Kalau mereka jujur, mereka akan mengetahui bahawa saling menegur kesalahan ulama adalah ciri keistimewaan Ahl al-Sunnah al-Ashairah. Tiada kumpulan lain sepertinya. Merekalah pengkritik yang mendedahkan kesilapan manusia dalam berfikir. Jika tidak ditegur, ditakuti orang awam akan terpedaya dengan ahli bidaah disebabkan popularitinya. Maha Suci Allah yang hanya meletakkan maksum hanya pada kitab dan nabi-Nya. 

Dalam masa kita menegur kesalahan mereka, kita juga selalu menaikkan martabat mereka yang tidak rendah disebabkan kesilapan pada satu dua isu. Ini kerana kita menyedari tinggi darjat usaha mereka dalam mempertahankan akidah Islam di hadapan ahli bidaah seperti al-Hashawiyyah, al-Mujassimah, sebilangan pengikut al-Hanabilah dan mereka yang menisbahkan diri mereka kepada salafussoleh sedangkan salaf berlepas diri daripada mereka.

Ketahuilah bahawa perkara ini, yakni menegur kesalahan ulama - kadangkala sesama Ahl al-Sunnah - adalah ciri istimewa kelompok yang benar. Ini kerana kamu tidak akan jumpa sesiapa pun, khususnya daripada kalangan al-Mujassimah, yang jujur lagi adil terhadap diri dan kumpulan mereka sendiri serta mengakui kesalahan tokoh mereka walau sedikit pun. 

Sebaliknya, al-Mujassimah selalu menafikannya walaupun sudah terbukti benar, ataupun mereka mentakwilnya dengan tafsiran yang tidak dimaksudkan oleh tokoh mereka, dan pelbagai cara lain. Malah mereka menuduh pula para pengkritik tersebut sebagai tidak menghormati ulama umat. Walhal, kita hanya mengkritik pandangan kelompok kecil sahaja daripada umat ini. Isu utamanya bukanlah hormat atau tidak hormat. Akan tetapi isunya adalah hak atau batil, betul atau salah. Namun, mereka melakukannya demi tokoh mereka. Pendirian hakiki mereka adalah memaksumkan tokoh. Mereka menyucikan tokoh mereka dengan sesucinya. 

Berbeza dengan kita, kita mengikuti kebenaran yang ditunjukkan oleh para ulama. Dalam masa yang sama, kita tidak menyucikan seorang pun daripada ulama besar kita. Kita tidak mengatakan mustahil ulama melakukan kesalahan. Kita tidak mengatakan ulama itu maksum, walaupun melalui perbuatan sepertimana al-Mujassimah.

Ketahuilah bahawa rahsia al-Mujassimah tidak menjelaskan kesalahan tokoh mereka adalah kerana semua tokoh mereka sudah terjatuh dalam kesalahan yang besar. Jika mereka mengkritik seorang sahaja, semua tokoh mereka akan terpalit sekali. Lalu seluruh aliran mereka akan dinilai sebagai salah, tergelincir dan terkeliru. 

Berbeza dengan Ahl al-Sunnah al-Asha'irah, ulama mereka yang tersalah sangat sedikit. Ini kerana baki ulama yang lain menegur kesalahannya sambil menghormati dan mengiktiraf kelebihannya. Dalam masa yang sama, kelebihannya itu tidak menghalang kita daripada menerima bahawa dia telah melakukan kesalahan. Maka itulah sebab al-Mujassimah tidak menjelaskan kesalahan pendapat tokoh mereka. 

Perkara ini tidak wujud dalam kalangan Ahl al-Sunnah kerana mereka sudah mengetahui bahawa kita diperintah untuk mempertahankan akidah Islam, bukannya akidah fulan hatta yang dianggap syeikh Islam. Mereka tahu bahawa pucuk pangkalnya akan kembali kepada Allah, bukan kerajaan atau negara. Disebabkan ini, al-Mujassimah menjadi takut untuk menerangkan kebenaran demi menjaga aliran tokoh mereka dan kedudukan duniawi. Sangat hairan perkara ini pada mereka. 

Akan tetapi, lebih menghairankan lagi adalah ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sendiri sudah takut mempertahankan akidah agama ini di hadapan serangan pembawa fikrah tajsim yang semakin hari semakin menguasai pemikiran ramai orang. Mereka berpandangan situasi ini adalah satu penyusupan yang berbahaya bagi pemikiran yang sakit ini. Akan tetapi, kamu lihat mereka tidak berbuat apa-apa. Bahkan, mereka tidak berani mengatakan bahawa pemikiran tersebut bercanggah dengan akidah yang benar, akidah Islam. Setakat kritikan tahap ini pun mereka tidak mampu. Walhal kita tahu ramai ulama Ahl al-Sunnah terdahulu adalah jaguh dalam mengkritik dan melawan ahli bidaah. 

Begitulah keadaan Ahl al-Sunnah terdahulu. Adapun kini, kita lihat merekalah orang yang paling takut mengkritik orang lain. Dalam banyak situasi, ketakutan mereka ini berpunca daripada kejahilan hakiki tentang mazhab mereka dan usulnya. Kebanyakan syeikh mereka sekarang memadai dengan mengetahui akidah secara umum. Mereka tidak meluaskan pengetahuan tentang ilmu mulia ini, yang disebutkan oleh ulama Ahl al-Sunnah sebagai asas bagi sekalian ilmu. Kita tahu bahawa mengenali akidah secara umum adalah untuk tujuan orang awam keluar daripada kewajipan mereka. Oleh itu, sungguh menghairankan orang yang menjadikan sikap berpada dengan cara awam ini sebagai tabiat mereka, sedangkan dia meninggalkan jalan yang boleh menaikkan lagi martabat ke tahap lebih tinggi dalam ilmu yang penting ini. 

Sesiapa yang keadaannya begini, maka memang secara adatnya tidak cenderung untuk menyingkap kesalahan orang lain. Ini kerana pada hakikatnya dia tidak mengetahui bahawa apa yang al-Mujassimah telah lakukan adalah salah sebenarnya. Bagaimana nak menghadapi mereka, kalau dia sendiri tidak mengetahui apa yang disebutkannya adalah benar secara yakin! Malah kebanyakannya sekadar mengetahui secara sangkaan! Oleh kerana itu, kebanyakan ulama yang menisbahkan diri kepada Ahl al-Sunnah cukup sekadar memilih jalan yang menghairankan, iaitu menerima semua pendapat golongan bidaah tersebut. Bagiku, ini adalah kesalahan yang lebih besar dan lebih jelas.

Sedangkan, kita tahu bahawa aliran tajsim pada asalnya adalah antara aliran yang paling lemah dalam sejarah Islam. Pada zaman dahulu, aliran batil ini malu hendak menyatakan pandangan mereka. Sebaliknya, mereka selalu berkias dan mengeluarkan pendapat yang sangat umum. Boleh jadi maksudnya itu, boleh jadi maksudnya ini. Sehinggakan jika mereka ditanya sesuatu, mereka mudah melepaskan diri. 

Contohnya, mereka berpendapat Allah berada di atas, lalu mereka menamakannya sebagai 'tinggi'. Mereka berkata, "Allah itu tinggi." Tinggi bagi Allah - dengan makna keagungan - adalah suatu yang disepakati. Akan tetapi, mereka memahami 'tinggi' dengan makna arah atas. 

Contoh lain, mereka menisbahkan tajsim kepada Allah dengan menamakannya sebagai keagungan kadar (qadr). Keagungan kadar - dengan makna keagungan martabat Allah - adalah suatu yang disepakati. Akan tetapi, al-Mujassimah mengalihkan makna kepada kadar (qadr) jisim, ruang dan tempat. Walhal, orang yang benar-benar menyucikan Allah akan memahami qadr sebagai keagungan sifat meliputi kekuasaan dan ilmu yang satu pun tidak terkeluar daripada urus tadbir-Nya. Dalam masa yang sama, Allah bersalahan dengan kita dari sudut asal kejadian dan hakikat diri. Kini, pengikut aliran batil tersebut tidak banyak berganjak daripada pendapat batil ini. 

Al-Hashawiyyah dahulu takut menerangkan pendapat mereka dalam menisbahkan anggota badan dan bahagian-bahagian kepada Allah. Adapun di zaman ini, mereka menerangkannya secara terang-terangan. Bahkan, mereka menyerang pula Ahl al-Sunnah sehingga melabel sebagai al-Jahmiyyah, al-Mu'attilah dan para penafi sifat. Malah, tokoh mereka sendiri berpendapat bahawa syariat tidak mengutuk tashbih dan mushabbihah. Ada banyak contoh pada zaman kini yang kita tak mampu nak sebutkannya. 

Perkara ini tidak berlaku melainkan kerana kelemahan warga Ahl al-Sunnah sendiri yang tidak mengukuhkan akidah mereka sedalamnya dan keterikatan mereka dengan urusan duniawi. Oleh sebab itu, mereka berfikir panjang akan kemarahan dan redha manusia tetapi tidak pula memikirkan redha Allah dan kemurkaan-Nya. Mereka cukup mahir dalam menjustifikasikan kesepakatan mereka, lebih-lebih lagi dengan berdiam dan tidak menegur al-Mujassimah. Adapun kita memetik al-Mujassimah secara khusus kerana mereka adalah majoriti di kebanyakan negara zaman kini, selain Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. 

Ramai ulama zaman kini menghalang kita daripada mengkritik fitnah yang dibawa oleh al-Mujassimah. Banyak alasan yang dikemukakan. Contohnya, mereka berkata, "Zaman ini zaman mereka (al-Mujassimah). Mereka ada kekayaan - yang menjadi asas tersebarnya aliran mereka - maka mengkritik mereka di zaman ini - di tengah-tengah tersebarnya aliran mereka dalam masyarakat - mungkin akan mencetuskan fitnah." Begini mereka katakan. Mereka menjauhi fitnah yang mereka sangka mereka tidak menghadapinya. Lalu mereka berkata, "Para pengikut al-Mujassimah itu tidak tahu tokoh ikutan mereka adalah al-Mujassimah. Maka tak perlulah kita mengkritik mereka. Sebaliknya didik mereka dan berinteraksi dengan mereka secara baik melalui nasihat yang berperingkat." Orang yang berkata sebegini telah lupa bahawa walaupun al-Mujassimah tidak mengatakan akidah mereka adalah tajsim, akan tetapi akidah mereka sememangnya tajsim sama ada sedar atau tidak sedar. 

Maka kita mesti menjelaskan kebenaran dan kebatilan kepada mereka serta selain mereka - dan ini memerlukan kepada mengkritik tokoh serta ketua mereka. Malah sebahagian syeikh yang dinisbahkan kepada Ahl al-Sunnah berusaha mengemukakan alasan bagi pihak al-Mujassimah dan justifikasi bagi kecenderungan mereka memilih tajsim. Mereka lupa bahawa walaupun kita boleh terima alasan itu, ia tidak semestinya melepaskan kita daripada menjelaskan kebatilan dan mengkritik mereka, serta tidak melepaskan mereka daripada harus berusaha mengenali akidah yang sahih. Tetapi mereka berkata sebaliknya. 

Orang yang memberi alasan sedemikian juga lupa bahawa ilmu tauhid mesti dengan meneliti pada dalil. Ia tidak membiarkan seseorang untuk berkata, "Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama dan sesungguhnya kami hanya menurut jalan mereka sahaja." (al-Zukhruf: 23) Sebaliknya, sesiapa yang berpegang dengan akidah batil, walaupun dia mengambil daripada ibu bapanya, ia tidak sekali-kali mengubah yang benar menjadi batil dan batil menjadi benar. 

Pendirianku adalah alasan mereka tentang fitnah tajsim yang tersebar di zaman ini tidak lebih daripada gambaran bagi ketakutan mereka untuk mengkritik al-Mujassimah dan kejahilan mereka tentang akidah Ahl al-Sunnah secara mendalam. Kalau mereka benar-benar tahu, pasti mereka tidak berlengah daripada menyebarkannya dan tidak bersikap lemah dalam mengkritik penentang mereka.

Atas perkara inilah Ahl al-Sunnah cenderung menegur kesalahan orang ramai, tidak kira tinggi mana kedudukan seseorang. Ini kerana tidak ada insan yang maksum melainkan Rasulullah s.a.w. Mengkritik juga adalah sebahagian daripada ilmu tauhid kerana kita tidak boleh bertaklid dalam akidah sedangkan kita ada kekuatan untuk mendalaminya. Ahl al-Sunnah yang sebenar menyedari bahawa perbuatan ini akan menambah lagi kekuatan mereka dan kekalnya mereka di atas kebenaran. Ini kerana mereka tahu bahawa tempat kembali mereka yang hakiki adalah Allah bukan makhluk-Nya. 

Rujukan:
  1. Fudah, Sa'id. 2013. Tahdhib Sharh al-Sanusiyyah. Amman: Dar al-Nur al-Mubin. Pautan PDF
Jika berminat dengan buku ini, boleh beli di pautan berikut: https://shope.ee/2fo4kwnqzK 

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah