Anjuran Wirid Pagi dan Petang Daripada Pelbagai Kumpulan
Saya dapati anjuran mengamalkan wirid pagi dan petang bersifat rentas kumpulan dan firqah. Mana-mana kelompok mahupun kumpulan pasti mempunyai galakan, anjuran dan saranan kepada para pengikutnya untuk mengamalkan wirid pagi dan petang.
Paling mudah kita dapat lihat anjuran wirid pagi dan petang ini pada kumpulan tarekat dan tasawuf. Para tokoh sufi dan tarekat kebiasaannya akan menyusun wirid tersendiri yang diambil daripada al-Quran dan hadis, lalu menggalakkan para murid untuk mengamalkannya. Misalnya, tarekat al-‘Alawiyyah masyhur dengan Ratib al-Haddad yang dijadikan wirid pagi dan petang oleh warga Hadramaut dan Nusantara. Ratib ini malah diamalkan secara meluas di masjid dan surau tanpa memerlukan baiah rasmi. Tarekat lain juga memiliki wirid pagi dan petang yang tersendiri, namun lebih cenderung diamalkan secara terpencil.
Seterusnya, kita dapat lihat anjuran yang sama ini pada kumpulan Haraki, khususnya Ikhwan al-Muslimun melalui wirid terkenal, al-Ma’thurat, hasil susunan tokoh mereka, Hasan al-Banna. Saya yakin mana-mana gerakan cawangan kumpulan Haraki ini turut menyarankan pengikut mereka mengamalkan wirid ini. Saya merasakan kebanyakan pelajar sekolah agama berasrama juga pernah mengamalkannya kerana pengaruh Haraki pernah subur dalam kalangan mereka suatu masa dahulu.
Kemudian, anjuran yang sama juga dapat dilihat pada kumpulan Salafi sebenarnya. Bukti yang jelas ialah penerbitan buku Hisn al-Muslim oleh Sa’id al-Qahtani. Namun begitu, dek kerana pendirian mereka yang tidak menyetujui amalan berzikir secara berjemaah, maka pengamalan wirid ini sukar dijumpai secara terbuka dalam kalangan mereka. Akan tetapi, saya yakin anjurannya berlaku kerana sudah pasti mereka menguar-uarkan wirid patuh sunnah sebagai satu penangkalan terhadap sufi dan tarekat.
Demikianlah pengamatan ringkas saya. Dapat dirumuskan bahawa betapa pentingnya wirid pagi dan petang hinggakan pelbagai kelompok yang saling berseteru pun menganjurkan para pengikutnya mengisi waktu pagi dan petang dengan wirid dan zikir. Walaupun lafaz wirid mungkin tidak sama, namun masing-masing menganjurkannya atas dasar niat yang baik. Eloklah kita jangan abaikan wirid pagi dan petang. Amalkanlah walaupun sedikit asalkan istiqamah.
Comments
Post a Comment