Ucapan Mesra Menyambut Tetamu Antara Islam dan Melayu

Persahabatan dalam huraian al-Ghazali adalah satu tingkatan hubungan yang lebih tinggi daripada sekadar kenalan atau kawan biasa. Malah kalau kita menelusuri penerangannya, persahabatan yang dimaksudkan oleh al-Ghazali jauh lebih akrab berbanding persahabatan yang kita fahami sekarang. Tahap persahabatan tersebutlah yang diamalkan oleh para salaf. 

Menurut al-Ghazali, antara hak persahabatan ialah tidak bersikap pura-pura dalam bersahabat. Tiada langsung perasaan segan mahupun malu antara sahabat sehingga seseorang terpaksa menyembunyikan sesuatu daripada sahabatnya. Seseorang dengan sahabatnya umpama satu tubuh yang sama, tiada beza dan kelainan sehingga berasa janggal dan ganjil antara mereka.

Antara yang dihuraikan oleh al-Ghazali ialah sikap menerima sahabat sebagai tetamu yang berkunjung ke rumah kita. Seorang tuan rumah menerima sahabatnya sebagai tetamu, lalu mengalu-alukan sahabatnya untuk berasa selesa dan senang di rumahnya sendiri. Begitu selesa sehingga al-Ghazali menukilkan kalam ulama bahawa sempurnanya keakraban antara sahabat apabila dia datang ke rumah sahabatnya, dan dia dialu-alukan oleh sahabatnya untuk makan bersama, menggunakan tandas, menunaikan solat dan tidur di rumahnya tanpa rasa segan atau malu.

Tambah al-Ghazali, ucapan Marhaban wa ahlan wa sahlan” yang masyhur dalam masyarakat Arab membenarkan lagi hak persahabatan ini. Marhaban bermaksud tetamu disambut dengan kelapangan hati dan tempat, ahlan bermaksud tetamu dialu-alukan tanpa rasa terasing, sahlan pula bermaksud tuan rumah bersedia memudahkan hajat tetamu.

Ucapan sebegini mengingatkan saya tentang ungkapan masyarakat Melayu kita suatu masa dahulu, tatkala menerima kunjungan tetamu, pasti mereka akan berkata, Buatlah macam rumah sendiri.” Ungkapan sebegini tampak hampir selari dengan ucapan masyhur dalam masyarakat Arab tadi. Barangkali suatu masa dahulu, sikap menyambut baik dan menyelesakan tetamu di rumah tanpa wujud rasa pura-pura dan segan pernah menjadi adat kebiasaan masyarakat Melayu dahulu.

Walau bagaimanapun, hal ini tidaklah menjadi lesen untuk kita bersikap melampaui batas semasa menziarahi rumah sahabat kita. Kita harus sentiasa ingat agar menghormati tuan rumah dan tidak lupa akan adab-adab berziarah yang selalu ditekankan oleh para ulama. Manakala yang dihuraikan oleh al-Ghazali ini adalah satu tingkatan hubungan persahabatan yang sangat akrab, yang saya merasakan tahap persahabatan tinggi ini sudah semakin nadir pada zaman ini.

Adapun kesimpulan saya pula, saya melihat adab warisan masyarakat Melayu mempunyai dasar yang kuat daripada adab yang diajarkan oleh Islam. Akar dan muaranya apabila disusuri, ia kembali kepada ajaran murni Islam. Sungguh bangsa Melayu terhutang budi dengan agama Islam.

Comments

Sohor Semasa

Al-Kullabiyyah Aliran Kalam Sunni Sebelum Imam al-Ash’ari

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Mendiagnosis Masalah Golongan Belia

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Merangkak Membaca al-Quran Lebih Baik Daripada Laju Berbicara Tanpa Ilmu

Tidak Mengitar Semula Isu Lama