Gua Pertama Surah al-Kahf IV: Ketika Matahari Berpaling Dari Gua oleh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi


Dalam siri ketiga 'Gua-Gua' Kekuasaan yang lalu, Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi mengulas tentang dua bukti kekuasaan Allah s.w.t dari sudut sains. Dua bukti tersebut ialah Allah s.w.t membalik-balikkan para pemuda al-Kahf supaya tidak badan mereka tidak ditimpa penyakit dan Allah s.w.t menutup telinga mereka agar mereka dapat tidur dengan begitu lama.

Manakala dalam siri keempat, al-Sya'rawi menyambung sedikit berkaitan tidurnya pemuda al-Kahf tanpa gangguan sinaran matahari dan bunyi-bunyian daripada luar. Akan tetapi, dalam siri terakhir ini, al-Sya'rawi lebih menekankan tentang mengapa Allah s.w.t merahsiakan banyak perkara tentang kisah ajaib ini. Allah s.w.t tidak menyebutkan zaman, tempat, nama dan bilangan para pemuda al-Kahf secara tepat dalam al-Quran. Perkara ini yang akan dihurai panjang oleh al-Sya'rawi dalam siri terakhir Ashab al-Kahfi ini. Berikut adalah terjemahan siri yang keempat:

Ketika Matahari Berpaling Dari Gua

Allah telah menidurkan para pemuda al-Kahf dengan nyenyaknya di dalam gua untuk tempoh yang sangat lama hinggakan cahaya matahari pun tidak mengejutkan mereka. Ketika terbit, Allah menjadikan matahari berpaling ke kanan daripada gua. Ketika terbenam, hanya sedikit sinaran matahari yang masuk ke dalam gua. Akan tetapi, ia tidak menyuluh ke tubuh mereka. 

Selain itu, Allah juga berkehendak memelihara mereka daripada bunyi-bunyi yang boleh mengganggu mereka seperti bunyi ribut, angin, guruh, petir mahupun haiwan buas berhampiran. Kebiasaannya, bunyi-bunyi seperti ini boleh mengejutkan orang yang sedang tidur. 

Sebaliknya, Allah telah menutup telinga mereka dan menjadikannya tidak berfungsi. Ini sahaja sudah memadai untuk memisahkan mereka daripada semua bunyi di dunia. Maka, mereka tidak terbangun oleh suatu bunyi pun, sekalipun pelbagai kejadian dan bunyi-bunyian berlaku di sekitar mereka.

Kalau telinga mereka tidak ditutup, pasti mereka tidak mampu tidur dalam tempoh yang panjang ini. Ini kerana telinga bekerja 24 jam tanpa henti. Sudah tentu, bunyi boleh mengejutkan orang yang tidur. Hanya ketenteraman yang mendalam membuatkan manusia dapat tidur tanpa gangguan.

'Gua' kekuasaan yang ketiga ialah Allah merahsiakan perincian tentang pemuda al-Kahf melainkan cerita kisah ini sahaja. Allah merahsiakan tempat, zaman, nama-nama pemuda dan bilangan mereka. Hikmah bagi segala rahsia ini ialah Allah mahu kisah ini dapat disesuaikan pada setiap tempat dan zaman.

Kalau Allah a.w.j memberitahu kita zaman kisah ini, pasti kita akan berkata, 

"Ini kelebihan zaman mereka,

"Ini berlaku di zaman dahulu, bukan di zaman kita,

"Ini berlaku di zaman sekian, bukan zaman sekian." 

Kalau kita mengetahui tempat mereka pula, pasti kita akan berkata, 

"Ini kelebihan tempat itu. Tempat berkat yang dipilih oleh Allah untuk berlaku kejadian ini.

Contohnya seperti Allah menyeru Nabi Musa a.s di tempat yang berkat berdekatan sisi kanan Gunung Tursina. Firman-Nya,

وَنَـٰدَيْنَـٰهُ مِن جَانِبِ ٱلطُّورِ ٱلْأَيْمَنِ وَقَرَّبْنَـٰهُ نَجِيًّۭا

Maksudnya: "Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami." (Maryam: 52)

Di tempat yang berkat ini Allah berkata-kata dengan Nabi Musa a.s. Akan tetapi, tempat ini diberkati kerana kelebihan peristiwa tersebut. Allah s.w.t mahu memuliakan Nabi Musa melalui peristiwa itu. Tempat ini juga diberkati kerana kelebihan zaman dan Nabi Musa a.s sendiri. Namun, seandainya seseorang mengetahui kedudukan tempat berkat ini secara tepat, lalu dia menyinggahnya, adakah Allah s.w.t akan berkata-kata dengannya pula? 

Oleh itu, Allah tabaraka wa ta'ala merahsiakan tempat Ahl al-Kahf supaya tiada sesiapa yang mendakwa ia kelebihan tempat kejadian. Ia juga tidak berulang di tempat lain. Maka, Allah membiarkannya tanpa perincian sepertimana juga zamannya. Kemudian, Allah merahsiakan juga perincian tentang pemuda-pemuda. Dengan itu, kita tidak dapat mengetahuinya secara terperinci supaya tiada yang mendakwa ia kelebihan khusus buat para pemuda tersebut, atau mereka adalah orang soleh maka mereka dikurniakan kelebihan yang tidak diberikan kepada orang lain.

Ada banyak lagi. Allah juga merahsiakan bilangan pemuda al-Kahf. Hal ini supaya kita tidak sibuk meneka-neka apakah rahsia di sebalik nombor tersebut sehingga kita berani mendakwa bilangan mereka sekian, maka ia mempunyai banyak makna. Ini bertepatan seperti apa yang terjadi pada nombor 19 yang didakwa ada rahsia dan makna tertentu. Nombor ini disebutkan dalam firman Allah,

لَوَّاحَةٌۭ لِّلْبَشَرِ  عَلَيْهَا تِسْعَةَ عَشَرَ  وَمَا جَعَلْنَآ أَصْحَـٰبَ ٱلنَّارِ إِلَّا مَلَـٰٓئِكَةًۭ ۙ وَمَا جَعَلْنَا عِدَّتَهُمْ إِلَّا فِتْنَةًۭ

Maksudnya: "Ia terus-menerus membakar kulit manusia! Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat). Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan." (al-Muddaththir: 29-31)

Daripada ayat di atas, sebilangan orang mendakwa jumlah malaikat yang bertugas di neraka adalah 19, jumlah huruf dalam basmalah juga 19, maka ini bermaksud neraka itu dinaungi rahmat Allah dan tiada sesiapa yang akan diazab di dalamnya! 

Kata-kata seperti ini bertentangan dengan al-Quran al-Karim. Ini kerana orang kafir pasti akan diazab dalam neraka. Allah s.w.t telah memberikan banyak gambaran azab mereka di hari kiamat dalam al-Quran. Begitu juga terdapat nombor lain yang didakwa dengan bermacam-macam 'rahsia' dan 'makna'. Hakikatnya, ia hanyalah bilangan tertentu yang dipilih oleh Allah s.w.t dengan kehendak-Nya.

Ada banyak tafsiran tentang nombor dalam al-Quran seperti 7, 40 dan 8. Misalnya seperti firman Allah s.w.t,

وَيَحْمِلُ عَرْشَ رَبِّكَ فَوْقَهُمْ يَوْمَئِذٍۢ ثَمَـٰنِيَةٌۭ

Maksudnya: "Dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu." (al-Haqqah: 17)

Hakikatnya, segala nombor ini adalah pilihan Allah. Sesiapa yang cuba menempelkan makna-makna 'rahsia' tertentu adalah tertolak. Ini kerana Allah jalla jalaluhu memberitahunya sebagai waktu dan nombor sahaja. Ia dipilih atas kehendak Allah semata-mata. Oleh sebab inilah, Allah tidak menyebutkan dengan jelas bilangan sebenar para pemuda al-Kahf. Firman Allah tabaraka wa ta'ala,

سَيَقُولُونَ ثَلَـٰثَةٌۭ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌۭ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًۢا بِٱلْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌۭ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُل رَّبِّىٓ أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌۭ ۗ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَآءًۭ ظَـٰهِرًۭا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَدًۭا

Maksudnya: "(Sebahagian daripada) mereka akan berkata, 'Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka'; dan setengahnya pula berkata, 'Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka' - secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata, 'Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kelapannya ialah anjing mereka'. Katakanlah (wahai Muhammad), 'Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit'. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapa pun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya dalam al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorang pun daripada golongan (yang membincangkannya)." (al-Kahfi: 22)

Beginilah, Allah s.w.t merahsiakan tempat, zaman dan bilangan pemuda al-Kahf untuk menarik perhatian kita kepada kisah yang mungkin berlaku pada sebarang zaman, tempat dan bilangan orang beriman yang melarikan diri menyelamatkan agama mereka daripada kejahatan orang kafir. Mereka itu dinaungi rahmat Allah, maka mereka dikurniakan rezeki yang luas, tempat yang lapang dan masa yang berjalan tanpa rasa penat, derita, gangguan dan mudarat. Ini juga berlaku pada setiap tempat dan zaman.

Rujukan:
  1. Al-Sya’rawi, Muhammad Mutawalli. t.th. Surah al-Kahf. al-Qahirah: Dar Akhbar al-Yawm. Pautan PDF

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah