Gua Pertama Surah al-Kahf oleh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi

Bersempena hari kelahiran Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi semalam (15 April), maka saya memuat naik semula siri Ashab al-Kahfi secara lengkap dalam satu entri. Namun, seandainya pembaca lebih suka membaca secara bersiri, boleh terus langkau ke bawah sekali, saya telah senaraikan pautan bagi setiap siri tersebut.

Sebagai pendahuluan, artikel ini adalah terjemahan bahagian pertama daripada buku Surah al-Kahf karangan Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, seorang ahli tafsir zaman kini yang tidak asing lagi. Pada bahagian tersebut, al-Sya'rawi menghuraikan ibrah dan pengajaran yang terkandung dalam kisah Ashab al-Kahfi. 

I

Siapakah Ahl al-Kahfi?

Kisah Ahl al-Kahf adalah kisah sekumpulan orang yang lari daripada pemerintah zalim yang berusaha memaksa mereka mengkafirkan Allah. Maka, mereka melarikan diri menyelamatkan agama mereka lalu bersembunyi di dalam sebuah gua. Sesungguhnya Allah s.w.t mencirikan mereka dalam kitab-Nya yang mulia melalui firman-Nya,

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَـٰهُمْ هُدًۭى

Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (al-Kahf: 13)

Dengan ciri ini, dapat kita ketahui bahawa Ahl al-Kahf bukanlah golongan tua yang lemah mahupun sekumpulan wanita. Sebaliknya mereka itu pemuda, yakni pada diri mereka ciri keremajaan. Mereka beriman kepada Tuhan mereka, dan bilamana mereka beriman kepada-Nya, semakin bertambah keimanan dan petunjuk dari sisi-Nya. Maka Allah jalla jalaluhu menambah keimanan orang beriman dan membantunya sepanjang jalan selama mana imannya benar dan kukuh, bertepatan dengan firman-Nya,

وَٱلَّذِينَ ٱهْتَدَوْا۟ زَادَهُمْ هُدًۭى وَءَاتَىٰهُمْ تَقْوَىٰهُمْ

Maksudnya: Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertakwa. (Muhammad: 17)

Sesungguhnya Tuhan Yang Maha Benar s.w.t hendak menarik perhatian kita bahawa Dia membantu orang beriman melalui jalan keimanan. Maka disebabkan itu, ditambahinya lagi daripada limpah kurnia Allah.

Para pemuda tersebut takut agama mereka dan takut akidah mereka daripada ditekan oleh pemerintah untuk menyembah selain daripada Allah. Maka, mereka lari menyelamatkan agama mereka menuju ke gua di sebuah bukit, bersembunyi di dalamnya daripada pemerintah kafir yang zalim. Adapun gua pula tempat yang sempit, manusia tidak mampu mendiaminya melainkan dalam waktu yang singkat sahaja. Bacalah firman Tuhan Yang Maha Benar jalla jalaluhu,

وَإِذِ ٱعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأْوُۥٓا۟ إِلَى ٱلْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِۦ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًۭا

Maksudnya: Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri daripada mereka dan daripada apa yang mereka sembah yang lain daripada Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna. (al-Kahf: 16)

Tuhan Yang Maha Benar s.w.t hendak kita mengetahui bahawa gua ini keadaannya sempit. Dalam fikiran kita yang bersifat manusiawi dan materi, kita menyangka ia tempat yang akan menyempitkan dengan ruangnya yang kecil dan masa juga menyempitkan dengan sunyinya daripada sebarang peristiwa di dalamnya. Meski gua ini menyempitkan ruang, akan tetapi ia tidak sekali-kali menyempitkan nikmat ke atas mereka. Rahmat Allah s.w.t akan menjadikan tempat yang sempit ini kelihatan luas dan lapang, oleh itu mereka tidak merasai kesempitan ruang. Masa pula terhenti di dalamnya, oleh itu mereka tidak merasai kesempitan masa. Bahkan rahmat Allah turun untuk melindungi mereka.

Ini mengingatkan kita bahawa sesiapa yang lari menyelamatkan agamanya ke tempat yang asing, meskipun tempat ini sempit, Allah melalui rahmat-Nya akan menjadikannya luas dan lapang. Jika tempat ini sempit dari sudut rezeki, Allah akan membukakan baginya pintu-pintu rezeki yang mengayakan orang kaya. Jika tempat ini menyempitkan bagi orang asing, yakni tidak mengalu-alukan orang asing di dalamnya, Allah akan meletakkan daripada rahmat-Nya ke dalam hati penduduk tempat ini suatu perasaan yang menjadikan mereka manusia yang paling mengalu-alukan kehadiran orang yang lari tersebut. Jika tempat ini sempit kerana orang-orang di dalamnya, yakni berhimpit-himpit, Allah akan menjadikan baginya tempat yang luas untuk dia hidup di dalamnya.

Beginilah, sesungguhnya orang yang lari menyelamatkan agamanya daripada kekufuran tidak akan dihina oleh Allah selama-lamanya. Bahkan, rahmat Allah akan selalu ada bersamanya, menghapuskan kesempitan rezeki dan meluaskannya, menghapuskan kesempitan keasingan dan menjadikannya dikasihi oleh penduduk setempat, menghapuskan kesempitan penginapan dan memberikannya penginapan yang luas lagi lapang.

Sesungguhnya kejadian ini bukanlah dengan perbuatannya sendiri, atau asbabnya sendiri, akan tetapi dengan rahmat Allah. Seperti inilah kita dapat mengetahui bahawa Allah s.w.t tidak meninggalkan orang beriman yang lari menyelamatkan agamanya kerana asbab dunia, bahkan Dia memeliharanya dengan rahmat-Nya. Maka, Dia membuatkan setiap perkara yang sempit menjadi luas seluas-luasnya dengan rahmat-Nya s.w.t. 

Antara rahmat-Nya kepada Ashab al-Kahfi, Dia tidak menjadikan mereka memikirkan bahawa diri mereka teraniaya sehingga mereka tidak hidup dalam keadaan risau dan takut akan dikesan oleh pemimpin kafir yang zalim atau persembunyian mereka terbongkar, sepertimana Dia menghapuskan kerisauan hidup mereka dalam mencari makanan dan minuman. Hal ini kerana usaha pencarian akan mendedahkan mereka dalam situasi yang buruk pada setiap hari. Misalnya, seorang daripada mereka keluar daripada gua untuk membawa makanan dan minuman sambil asyik menoleh ke belakang kerana takut diperhati oleh petugas pemimpin zalim, lalu menunjukkan mereka ke gua. Ataupun dia diikuti oleh seseorang ketika dia pulang membawa makan dan minum ke gua, lalu tempat persembunyian mereka terbongkar, dan maklumat ini sampai ke telinga pemerintah kafir yang zalim, akhirnya mereka diserbu dan dibunuh, atau dipaksa lagi kepada kekufuran.

Oleh sebab itu, Allah menimpakan kepada mereka rasa mengantuk yang aman, yakni Allah membuatkan mereka tidur dalam gua. Maka, tiada siapa yang dapat menjumpai mereka. Mereka pula tidak merasakan masa berjalan dan tidak berhajat kepada makanan mahupun minuman.

Beginilah caranya Allah s.w.t menyelamatkan mereka daripada kesempitan duniawi. Mereka tidak berasa kesempitan tempat, tidak berasa kebosanan masa, tidak berasa risau akan terjatuh dalam bahaya dan tidak berasa kesempitan dalam hidup mereka. Bahkan Allah tabaraka wa ta'ala dengan rahmat-Nya menghapuskan kesempitan ini sehabis-habisnya. Di samping itu, terdapat di sana tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t yang memelihara mereka dengan pertolongan-Nya.

II

Apabila Masa Terhenti 

Bukti kekuasaan yang pertama ialah Allah s.w.t menimpakan rasa mengantuk atau tidur terhadap mereka. Biasanya, manusia tidur panjang dalam sehari atau setengah hari. Paling jauh dia boleh sebut adalah dia tidur seharian atau setengah hari. Oleh kerana itu, ketika mana mereka (Ashab al-Kahfi) bangun dari tidur, soalan yang ditanyakan sesama mereka adalah, "Berapa lama kamu tidur?" Mereka pun menjawab, "Seharian atau sebahagian dari sehari." Seperti yang diceritakan oleh Allah s.w.t melalui firman-Nya,

وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَـٰهُمْ لِيَتَسَآءَلُوا۟ بَيْنَهُمْ ۚ قَالَ قَآئِلٌۭ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ ۖ قَالُوا۟ لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْم

Maksudnya: "Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanya sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya, 'Berapa lama kamu tidur?' (Sebahagian daripada) mereka menjawab, 'Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari.'" (al-Kahf: 19)

Tidak boleh tidak, kita mesti mengamati firman Tuhan Yang Maha Benar s.w.t, "... selama sehari atau sebahagian dari sehari," kerana ini menunjukkan kepada kita bahawa Tuhan Yang Maha Benar tabaraka wa ta'ala telah menghentikan kesan masa terhadap mereka. Maka dalam tempoh ini, mereka telah terkeluar daripada lingkungan masa. Mereka tidak merasai masa dalam tidur mereka.

Ini perkara biasa. Orang yang tidur tidak merasai masa berlalu dan tidak mengetahui berapa jam tidurnya. Melainkan jika dia mengetahui bilakah waktu dia mula tidur, kemudian dia bangun dan melihat jam. Ataupun dia mula tidur ketika matahari terbit di waktu siang, lalu dia bangun ketika hari sudah gelap malam, ataupun sebaliknya. Oleh itu, seseorang pasti memiliki suatu ukuran dari luar yang akan memberitahu tempoh masa tidurnya. Jika tidak, dia tidak tahu berapa lama dia tidur.

Maka, adakah Ahl al-Kahf mempunyai sebarang ukuran untuk mengetahui berapa lama mereka tidur? Ya, mereka ada ukuran itu, tetapi Allah s.w.t memansuhkannya, maka ia tidak memberi kesan terhadap diri mereka.

Apakah ukuran luaran itu? Ukuran itu adalah mereka memerhatikan kesan masa pada jasad mereka. Sekiranya mereka berada di bawah kesan masa, apabila mereka tidur dalam tempoh yang lama, lalu mereka bangun, saling memerhatikan diri mereka, maka mereka akan dapati rambut yang hitam telah beruban, wajah dan tangan telah berkerut, kekuatan telah menurun dan menjadi lemah, kaki pula tidak mampu menanggung tubuh, serta kesan-kesan yang lain pada jasad mereka.

Akan tetapi, Allah memansuhkan ukuran ini bagi mereka, menyebabkan mereka tidak terkesan dengan kesan-kesan masa. Oleh kerana itu, ketika mereka bangun dan saling memerhatikan diri mereka, mereka dapati keadaan mereka tidak berubah. Mereka melihat diri mereka dalam keadaan remaja seperti sebelum tidur. Tiada sebarang perubahan pada wajah dan jasad mereka. Bahkan mereka dapati diri mereka sepertimana asal. Oleh itu, mereka beranggapan mereka tidur dalam gua tidak lama, dalam beberapa jam sahaja.

Inilah juga yang berlaku pada hamba soleh yang diceritakan oleh Allah s.w.t kepada kita dalam al-Quran al-Karim melalui firman-Nya Taala,

أَوْ كَٱلَّذِى مَرَّ عَلَىٰ قَرْيَةٍۢ وَهِىَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا قَالَ أَنَّىٰ يُحْىِۦ هَـٰذِهِ ٱللَّهُ بَعْدَ مَوْتِهَا ۖ فَأَمَاتَهُ ٱللَّهُ مِا۟ئَةَ عَامٍۢ ثُمَّ بَعَثَهُۥ ۖ قَالَ كَمْ لَبِثْتَ ۖ قَالَ لَبِثْتُ يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍۢ ۖ

Maksudnya: "Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata, 'Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?' Lalu dia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya, 'Berapa lama engkau tinggal (di sini)?' Dia menjawab, 'Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari.'" (al-Baqarah: 259)

Hamba soleh tersebut melewati sebuah kampung yang telah ditimpa azab Allah. Kampung itu hancur dengan teruk. Hamba itu bertanya-tanya akan kuasa Allah menghidupkan semula kampung tersebut. Maka, Allah s.w.t berkehendak memperlihatkan secebis kekuasaan-Nya kepada hamba itu. Allah mematikannya selama seratus tahun, lalu menghidupkannya kembali. Ketika itu, Allah tabaraka wa ta'ala bertanya kepadanya tentang berapa lama tempoh dia dimatikan. Hamba itu menjawab sehari atau setengah hari mengikut kebiasaan manusia, kerana dia tidak merasa sebarang perubahan dan kelainan pada jasadnya. Oleh yang demikian, Allah s.w.t memberitahu hakikat sebenar yang berlaku kepadanya. Allah jalla jalaluhu berfirman,

 قَالَ بَل لَّبِثْتَ مِا۟ئَةَ عَامٍۢ فَٱنظُرْ إِلَىٰ طَعَامِكَ وَشَرَابِكَ لَمْ يَتَسَنَّهْ ۖ وَٱنظُرْ إِلَىٰ حِمَارِكَ وَلِنَجْعَلَكَ ءَايَةًۭ لِّلنَّاسِ ۖ وَٱنظُرْ إِلَى ٱلْعِظَامِ كَيْفَ نُنشِزُهَا ثُمَّ نَكْسُوهَا لَحْمًۭا ۚ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُۥ قَالَ أَعْلَمُ أَنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ

Maksudnya: "Allah berfirman, '(Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging.' Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia, 'Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.'" (al-Baqarah: 259)

Maka, Allah tabaraka wa ta'ala memberitahu hakikat yang sebenar kepada hamba soleh itu. Lalu Allah menyuruh dia memerhatikan makanan dan minumannya. Maka, dia dapati keadaan makanan dan minumannya seperti asal, tidak berubah. Kemudian, Allah menyuruh dia memerhatikan keldainya. Maka, dia dapati keldainya telah mereput dan menjadi tulang. Perkara ini tentu memerlukan waktu yang panjang untuk menjadi begitu. Akhirnya, hamba itu menyedari bahawa tidak mungkin perkara ini berlaku dalam sehari atau setengah hari.

Beginilah halnya bagaimana Allah berkuasa menjalankan masa terhadap keldai, tetapi dalam masa yang sama menghentikan masa terhadap makanan. Tidak mungkin suatu perkara berserta lawannya boleh berlaku dengan serentak dalam masa yang sama. Melainkan (dengan izin) Allah s.w.t, yang pemerintahan setiap perkara berada dalam kekuasaan-Nya.

III

'Gua-Gua' Kekuasaan

Pemuda-pemuda Ahl al-Kahfi telah ditidurkan oleh Allah selama 309 tahun. Kejadian ajaib ini menunjukkan kepada beberapa 'gua' kekuasaan Allah s.w.t. 'Gua' yang pertama adalah tidur yang panjang akan merosakkan badan dan jasad yang lama berbaring di atas tanah akan ditimpa pelbagai mudarat. Oleh sebab itu, Allah s.w.t berfirman,

وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ ٱلْيَمِينِ وَذَاتَ ٱلشِّمَال

Maksudnya: "Dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri." (al-Kahfi: 18)

Demikianlah bagaimana Allah s.w.t memberitahu kita dalam al-Quran tentang perkara (penemuan sains) yang tidak diketahui sehingga zaman kini. Iaitu arahan doktor meminta ahli keluarga membalikkan badan pesakit ke kanan dan kiri bagi pesakit yang tidak boleh bergerak. Hal ini supaya badan pesakit tersebut tidak melecet disebabkan katilnya yang boleh mengakibatkan banyak lagi mudarat lain.

'Gua' yang kedua adalah berdasarkan firman Tuhan Yang Maha Benar s.w.t,

فَضَرَبْنَا عَلَىٰٓ ءَاذَانِهِمْ فِى ٱلْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًۭا

Maksudnya: "Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya." (al-Kahf: 11)

Jika manusia hendak tidur, dia memerlukan persekitaran yang tenteram. Ini kerana setiap anggota badannya akan tidur, melainkan telinga. Telinga ialah pengejut yang tidak pernah tidur, penyedar yang membangkitkan diri daripada tidur. Jika anda mahu mengejutkan seseorang dengan mendekatkan tangan ke matanya atau meletakkan tangannya terus sekalipun, barangkali dia tidak berasa apa-apa. Akan tetapi, jika anda meninggikan suara di telinganya, dia pasti akan terus terbangun. Sekiranya suara itu kuat secara tiba-tiba, pasti dia akan terbangun dan marah. Oleh sebab itu, Allah s.w.t menjadikan malam itu sunyi supaya ia tenang dan tenteram, bertepatan dengan firman-Nya tabaraka wa ta'ala,

هُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلَّيْلَ لِتَسْكُنُوا۟ فِيهِ وَٱلنَّهَارَ مُبْصِرًا

Maksudnya: "Dia-lah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha)." (Yunus: 67)

Allah menjadikan malam itu menenangkan supaya manusia boleh tidur dengan nyenyak dan dapat merehatkan badan untuk bekerja pada siang keesokannya. Kalau tidak kerana tidur di waktu malam, manusia tidak akan mampu bekerja di waktu siang. Kalau anda mahu, cubalah tidak tidur dalam satu atau dua malam. Anda akan merasakan badan anda lemah dan tak mampu bekerja. Maka, anda mesti tidur dalam tempoh yang panjang supaya dapat bekerja lagi. 

Ketahuilah, sebenarnya perkara yang mengganggu ketenangan malam adalah perbuatan dosa. Hal ini kerana Allah s.w.t menjadikan malam itu tenang dan tenteram supaya manusia boleh tidur dengan nyenyak sehingga dia mampu melaksanakan tanggungjawab dalam hidupnya.

IV

Ketika Matahari Berpaling Dari Gua

Allah telah menidurkan para pemuda al-Kahf dengan nyenyaknya di dalam gua untuk tempoh yang sangat lama hinggakan cahaya matahari pun tidak mengejutkan mereka. Ketika terbit, Allah menjadikan matahari berpaling ke kanan daripada gua. Ketika terbenam, hanya sedikit sinaran matahari yang masuk ke dalam gua. Akan tetapi, ia tidak menyuluh ke tubuh mereka. 

Selain itu, Allah juga berkehendak memelihara mereka daripada bunyi-bunyi yang boleh mengganggu mereka seperti bunyi ribut, angin, guruh, petir mahupun haiwan buas berhampiran. Kebiasaannya, bunyi-bunyi seperti ini boleh mengejutkan orang yang sedang tidur. 

Sebaliknya, Allah telah menutup telinga mereka dan menjadikannya tidak berfungsi. Ini sahaja sudah memadai untuk memisahkan mereka daripada semua bunyi di dunia. Maka, mereka tidak terbangun oleh suatu bunyi pun, sekalipun pelbagai kejadian dan bunyi-bunyian berlaku di sekitar mereka.

Kalau telinga mereka tidak ditutup, pasti mereka tidak mampu tidur dalam tempoh yang panjang ini. Ini kerana telinga bekerja 24 jam tanpa henti. Sudah tentu, bunyi boleh mengejutkan orang yang tidur. Hanya ketenteraman yang mendalam membuatkan manusia dapat tidur tanpa gangguan.

'Gua' kekuasaan yang ketiga ialah Allah merahsiakan perincian tentang pemuda al-Kahf melainkan cerita kisah ini sahaja. Allah merahsiakan tempat, zaman, nama-nama pemuda dan bilangan mereka. Hikmah bagi segala rahsia ini ialah Allah mahu kisah ini dapat disesuaikan pada setiap tempat dan zaman.

Kalau Allah a.w.j memberitahu kita zaman kisah ini, pasti kita akan berkata, 

"Ini kelebihan zaman mereka,

"Ini berlaku di zaman dahulu, bukan di zaman kita,

"Ini berlaku di zaman sekian, bukan zaman sekian." 

Kalau kita mengetahui tempat mereka pula, pasti kita akan berkata, 

"Ini kelebihan tempat itu. Tempat berkat yang dipilih oleh Allah untuk berlaku kejadian ini.

Contohnya seperti Allah menyeru Nabi Musa a.s di tempat yang berkat berdekatan sisi kanan Gunung Tursina. Firman-Nya,

وَنَـٰدَيْنَـٰهُ مِن جَانِبِ ٱلطُّورِ ٱلْأَيْمَنِ وَقَرَّبْنَـٰهُ نَجِيًّۭا

Maksudnya: "Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami." (Maryam: 52)

Di tempat yang berkat ini Allah berkata-kata dengan Nabi Musa a.s. Akan tetapi, tempat ini diberkati kerana kelebihan peristiwa tersebut. Allah s.w.t mahu memuliakan Nabi Musa melalui peristiwa itu. Tempat ini juga diberkati kerana kelebihan zaman dan Nabi Musa a.s sendiri. Namun, seandainya seseorang mengetahui kedudukan tempat berkat ini secara tepat, lalu dia menyinggahnya, adakah Allah s.w.t akan berkata-kata dengannya pula? 

Oleh itu, Allah tabaraka wa ta'ala merahsiakan tempat Ahl al-Kahf supaya tiada sesiapa yang mendakwa ia kelebihan tempat kejadian. Ia juga tidak berulang di tempat lain. Maka, Allah membiarkannya tanpa perincian sepertimana juga zamannya. Kemudian, Allah merahsiakan juga perincian tentang pemuda-pemuda. Dengan itu, kita tidak dapat mengetahuinya secara terperinci supaya tiada yang mendakwa ia kelebihan khusus buat para pemuda tersebut, atau mereka adalah orang soleh maka mereka dikurniakan kelebihan yang tidak diberikan kepada orang lain.

Ada banyak lagi. Allah juga merahsiakan bilangan pemuda al-Kahf. Hal ini supaya kita tidak sibuk meneka-neka apakah rahsia di sebalik nombor tersebut sehingga kita berani mendakwa bilangan mereka sekian, maka ia mempunyai banyak makna. Ini bertepatan seperti apa yang terjadi pada nombor 19 yang didakwa ada rahsia dan makna tertentu. Nombor ini disebutkan dalam firman Allah,

لَوَّاحَةٌۭ لِّلْبَشَرِ  عَلَيْهَا تِسْعَةَ عَشَرَ  وَمَا جَعَلْنَآ أَصْحَـٰبَ ٱلنَّارِ إِلَّا مَلَـٰٓئِكَةًۭ ۙ وَمَا جَعَلْنَا عِدَّتَهُمْ إِلَّا فِتْنَةًۭ

Maksudnya: "Ia terus-menerus membakar kulit manusia! Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat). Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan." (al-Muddaththir: 29-31)

Daripada ayat di atas, sebilangan orang mendakwa jumlah malaikat yang bertugas di neraka adalah 19, jumlah huruf dalam basmalah juga 19, maka ini bermaksud neraka itu dinaungi rahmat Allah dan tiada sesiapa yang akan diazab di dalamnya! 

Kata-kata seperti ini bertentangan dengan al-Quran al-Karim. Ini kerana orang kafir pasti akan diazab dalam neraka. Allah s.w.t telah memberikan banyak gambaran azab mereka di hari kiamat dalam al-Quran. Begitu juga terdapat nombor lain yang didakwa dengan bermacam-macam 'rahsia' dan 'makna'. Hakikatnya, ia hanyalah bilangan tertentu yang dipilih oleh Allah s.w.t dengan kehendak-Nya.

Ada banyak tafsiran tentang nombor dalam al-Quran seperti 7, 40 dan 8. Misalnya seperti firman Allah s.w.t,

وَيَحْمِلُ عَرْشَ رَبِّكَ فَوْقَهُمْ يَوْمَئِذٍۢ ثَمَـٰنِيَةٌۭ

Maksudnya: "Dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu." (al-Haqqah: 17)

Hakikatnya, segala nombor ini adalah pilihan Allah. Sesiapa yang cuba menempelkan makna-makna 'rahsia' tertentu adalah tertolak. Ini kerana Allah jalla jalaluhu memberitahunya sebagai waktu dan nombor sahaja. Ia dipilih atas kehendak Allah semata-mata. Oleh sebab inilah, Allah tidak menyebutkan dengan jelas bilangan sebenar para pemuda al-Kahf. Firman Allah tabaraka wa ta'ala,

سَيَقُولُونَ ثَلَـٰثَةٌۭ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌۭ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًۢا بِٱلْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌۭ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُل رَّبِّىٓ أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌۭ ۗ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَآءًۭ ظَـٰهِرًۭا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَدًۭا

Maksudnya: "(Sebahagian daripada) mereka akan berkata, 'Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka'; dan setengahnya pula berkata, 'Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka' - secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata, 'Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kelapannya ialah anjing mereka'. Katakanlah (wahai Muhammad), 'Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit'. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapa pun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya dalam al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorang pun daripada golongan (yang membincangkannya)." (al-Kahfi: 22)

Beginilah, Allah s.w.t merahsiakan tempat, zaman dan bilangan pemuda al-Kahf untuk menarik perhatian kita kepada kisah yang mungkin berlaku pada sebarang zaman, tempat dan bilangan orang beriman yang melarikan diri menyelamatkan agama mereka daripada kejahatan orang kafir. Mereka itu dinaungi rahmat Allah, maka mereka dikurniakan rezeki yang luas, tempat yang lapang dan masa yang berjalan tanpa rasa penat, derita, gangguan dan mudarat. Ini juga berlaku pada setiap tempat dan zaman.

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah