Teguran Ibn Sirin Tentang Mencela Orang Yang Sudah Meninggal Dunia
Baru-baru ini, seorang rakan kita yang alim telah menegur perangai warga net yang suka mempersendakan seorang tokoh ajaran sesat. Namun, apa yang berlaku ialah beliau pula dicela dan dipersenda oleh warga net. Mujur ramai rakan lain yang alim turut bantu mempertahankan tegurannya. Saya juga tergerak nak turut sama membantu.
Cuma iyalah, kita faham, tokoh itu pembawa ajaran sesat. Bukan sekadar orang yang sudah meninggal dunia, kan. Dengan sedikit kajian, saya menjumpai riwayat ini yang bersumber daripada Hilyah al-Awliya’ oleh Abu Nu‘aim al-Asfahani. Macam biasa, apa sahaja tulisan ringkas saya di media sosial, saya suka untuk menyimpannya di blog sebagai catatan peribadi.
سمع ابن سيرين رجلا يسب الحجاج فأقبل عليه فقال: مه أيها الرجل، فإنك لو قد وافيت الآخرة كان أصغر ذنب عملته قط أعظم عليك من أعظم ذنبٍ عمله الحجاج. واعلم أن الله تعالى حكم عدل إن أخذ من الحجاج لمن ظلمه فسوف يأخذ للحجاج ممن ظلمه. فلا تشغلن نفسك بسبّ أحد
Ibn Sirin mendengar seseorang mencela al-Hajjaj, lalu beliau datang dan berkata, “Sudahlah, encik. Apabila kamu tiba di akhirat nanti, dosa terkecil kamu pun akan terasa sungguh berat bagimu berbanding dosa terbesar al-Hajjaj. Ketahuilah, Allah Taala itu Hakim yang adil. Jika Dia menuntut balasan bagi orang yang dizalimi al-Hajjaj, Dia juga akan menuntut balasan untuk al-Hajjaj daripada orang yang menzaliminya. Maka, janganlah engkau sibukkan dirimu dengan mencela sesiapa pun.”
Ulasan ringkas saya, al-Hajjaj memang sedia maklum akan kejahatannya yang telah diceritakan zaman berzaman oleh para ulama dan sejarawan Islam. Kalau al-Hajjaj yang sebegitu pun diminta oleh Ibn Sirin untuk kita berlaku adil terhadapnya, maka lebih-lebih lagi kita perlu berlaku adil terhadap tokoh ajaran sesat itu.
Dalam hal ini, kita perlu bersikap objektif dan adil. Apabila menyentuh hal kesesatan, maka kita perlu menyebutnya sebagai peringatan kepada orang ramai. Apa yang batil dan sesat daripada orang tersebut, kita wajib lawan dan tentang.
Tetapi, jangan pula kita melampaui batas hingga mengatakan apa yang dia tidak katakan, termasuklah menjadikannya sebagai bahan lawak. Ini sudah dikira tidak berlaku adil, atau dengan kata lain, berlaku zalim terhadap orang itu.
Kita kena selalu ingat pesanan Ibn Sirin ini; jangan sibuk sangat mengutuk orang lain, sebab kita sendiri tidak tahu apa nasib kita. Lagipun, nanti kita akan merasa azab dosa kita sendiri sahaja, bukannya azab dosa orang yang dicela itu pun. Maka, tidak perlulah kita sibuk mencela dan troll orang yang sudah meninggal dunia, bagaikan tiada kerja berfaedah lain yang boleh dibuat.
Comments
Post a Comment