Keunggulan Sebenar Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah Terletak Pada Nilai Ilmu

Bulan ini rasanya isu RUU Mufti WP yang menjadi sajian utama pengguna media sosial. Rasa sayang pula kalau saya tidak mengakhiri bulan ini dengan menulis apa-apa tentang isu tersebut. Tetapi bukan sudut perundangan yang mahu saya sentuh, sebab ia bukan bidang kepakaran saya. Saya di sini hanya mahu menyatakan rasa terkilan melihatkan ramai orang melemparkan tanggapan buruk terhadap Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Mujur para ilmuwan, ustaz, begitu juga sahabat handai tampil untuk meleraikan kemelut ini. Semoga Allah berikan ganjaran kepada mereka semua.

Memang lumrah mana-mana aliran, kecenderungan untuk memegang tampuk pemerintahan itu memang ada. Ketika pemerintahan singkat Yazid bin al-Walid, dikisahkan al-Qadariyyah bersungguh-sungguh menyebarkan fahamannya. Lama selepas itu, Muktazilah pula mengukuhkan fahamannya ketika al-Ma’mun menaiki takhta khalifah. Mana-mana aliran pun akan berasa selesa apabila dapat menjadi sebahagian besar dalam urus tadbir sesuatu kawasan. Paling kurang pun dapat menganjurkan program bual bicara dan menjemput penceramah yang sealiran. Maka, saya tak kata perbuatan ini betul atau salah, saya kata ini ialah lumrah.

Hanya yang kita tidak gemar ialah apabila peluang itu digunakan dengan cara yang tidak baik sehingga menggunakan kekerasan terhadap pihak lawan. Umum mengetahui bagaimana Muktazilah mempengaruhi penguasa untuk menyeksa setiap ulama dan kadi yang tidak bersetuju dengan fahaman mereka. Akibatnya, mereka menyeksa al-Buwayti sehingga membawa maut seolah-olah beliau memusuhi Islam pula. Beginilah masalahnya apabila perbezaan pendapat tidak diurus dengan baik.

Namun begitu, saya merasakan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah tidak tergamak bertindak melampau seperti yang dilakukan oleh Muktazilah. Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah sebuah institusi yang kaya dengan khazanah ilmu yang telah dikaji sejak zaman-berzaman. Khazanah ini terus dimanfaatkan dan menjadi panduan para ilmuwan sehingga zaman sekarang. Maka, sebarang keputusan lazimnya akan ditentukan melalui perbincangan yang tuntas dan tidak akan bermudah-mudah mengeluarkan sesuatu hukum.

Lebih dari itu, saya yakin Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah mampu menuntun umat ke arah kemajuan. Kesyumulan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah merangkumi akidah (al-Asha’irah & al-Maturidiyyah), fekah (al-Shafi’i, al-Hanafi, al-Maliki & al-Hanbali) dan tasawuf (al-Junayd & al-Ghazali) berupaya menjadi satu manhaj kehidupan yang ampuh bagi seseorang Muslim. Keseimbangan antara syarak dan akal, dalil naqli dan dalil aqli, yang menjadi salah satu dasar penting Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah tidak hanya menjadi asas beragama yang seimbang antara ifrat dan tafrit, malah mampu menjadi bekalan bagi Muslim untuk meneroka kemajuan dunia yang serba menguji daya fikir tanpa meninggalkan sudut kerohanian diri.

Ya, memang tidak dinafikan, akan wujud pengikut yang bertindak ganjil dan tersasar daripada manhaj. Ini juga antara perkara yang lumrah dalam mana-mana aliran. Malah, rasanya aliran Salafi sendiri tidak menerima pengikut yang membawa nama Salafi ke arah ekstremisme. Kalangan pengikut Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah juga ada sahaja yang bertindak ganjil ini, seperti yang kerap ditularkan di media sosial. Kelompok ini perlu ditegur, dan teguran itu mesti datang daripada ilmuwan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah sendiri supaya mereka sedar tindakan mereka itu tidak diiktiraf dan telah mencalarkan nama baik Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. 

Sebenarnya, perilaku pengikut tidak perlu pun digembar-gemburkan seolah-olah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah bersetuju dan mempromosi perilaku kecil pengikut itu. Kelompok ini tetap akan ditegur dan diberi peringatan kerana budaya menegur dan mengkritik sudah mengalir dalam manhaj. Bahkan, budaya inilah yang menjadi ciri istimewa mereka kerana dahulu para ilmuwan benar-benar mempraktikkan bahawa sesiapa pun boleh dikritik kerana tiada sesiapa yang maksum melainkan Rasulullah s.a.w. Sedangkan al-Juwayni pun pernah mengkritik al-Ash’ari penghulu mazhab, apatah lagi sekecil perilaku ganjil daripada pengikut.

Tapi, terkilan juga apabila ada orang kita yang merendahkan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, sedangkan kefahaman agama yang kita nikmati kini hasil perahan keringat ulama terdahulu. Manuskrip Melayu tertua yang dijumpai di tanah air kita setakat ini ialah terjemahan al-Aqa’id al-Nasafiyyah. Sifat 20 pernah menjadi silibus di pelbagai tempat seawal peringkat rendah. Kalau tidak setuju dengan sifat 20, tahukah empat sifat rasul yang sudah biasa diketahui masyarakat: siddiq, amanah, tabligh, fatanah, merupakan pengajaran yang terkandung dalam Umm al-Barahin oleh al-Sanusi. Ini baru sahaja dalam akidah, belum fekah dan tasawuf lagi. Besar jasa Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah ini suatu hakikat sejarah yang tidak dapat dikecilkan, apalagi dipadam.

Namun, apa guna berbangga dengan sejarah silam Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, jika tidak meneruskan legasinya. Maka, besar harapan saya agar kita terus memakmurkan ekosistem ilmu; baik sebagai penerima dengan menghadiri kelas pengajian, program akademik, atau melakukan kajian; dan sebagai pemberi dengan mengajar, menulis atau melontarkan pandangan. Sebaiknya, janganlah kita berharap kepada pemerintahan sahaja. Ia boleh menjadi satu kelebihan, tapi keunggulan manhaj yang sebenar terletak pada nilai ilmu. Tidak mengapa jika sekali-sekala berqasidah, tetapi selalulah juga mengutamakan kegiatan ilmiah. Biarlah orang lain lebih mengenali manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah sebagai jaguh dalam lapangan ilmu dan amal.

Comments

Sohor Semasa

Muhammad Said Ramadhan al-Buti Menegakkan Keadilan Islam Terhadap Hak Manusia

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Meletakkan Islam Di Hadapan Falsafah

Menyahut Seruan Untuk Bekerja Oleh al-Khallal

Abdul Qadir al-Husayn Mengetengahkan Imam al-Ash'ari Melalui Biografi

Tentang Membaca dan Mempelajari Kitab oleh Syeikh Said Fudah